Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus komited memperkasakan penyertaan wanita dalam kepimpinan politik dan pentadbiran negeri menerusi pelbagai inisiatif pembangunan bakat dan kepimpinan yang lebih menyeluruh.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan wanita dalam jawatan kepimpinan dan proses membuat keputusan menjelang tahun 2030 sebagai sebahagian daripada usaha membentuk sistem pentadbiran yang lebih inklusif, progresif dan mampan.
Menurut beliau, pembangunan sesebuah negeri tidak akan dapat dicapai secara menyeluruh tanpa penglibatan aktif wanita dalam semua peringkat kepimpinan.
Justeru, sasaran tersebut bukan sekadar memenuhi kuota, malah mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan lebih ramai wanita diberikan peluang, ruang dan keyakinan bagi menyumbang kepada pembentukan dasar serta hala tuju pembangunan Pulau Pinang.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Debat Wanita Ketua Menteri Pulau Pinang 2026 di sebuah hotel di George Town.
Kon Yeow berkata, bagi merealisasikan aspirasi tersebut, negeri memerlukan lebih ramai pemimpin wanita yang memiliki ilmu pengetahuan, keyakinan, pengalaman serta keberanian untuk tampil memimpin.
Beliau turut memuji pendekatan Pertandingan Debat Wanita Ketua Menteri yang bukan sahaja menguji kebolehan peserta berhujah, malah menjadi platform melahirkan pemimpin wanita berkualiti melalui latihan intensif, bimbingan profesional serta pembangunan kemahiran penyelidikan, pemikiran kritis dan pengucapan awam.
Katanya, sambutan menggalakkan terhadap pertandingan itu membuktikan semakin ramai wanita bersedia menggalas peranan lebih besar dalam kepimpinan negeri.
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan harapan agar usaha memperkukuh penyertaan wanita dalam kepimpinan diteruskan oleh pentadbiran akan datang, termasuk merealisasikan aspirasi meningkatkan perwakilan wanita di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.
Walaupun mengakui usaha memperkenalkan kuota 30 peratus wanita sebelum ini berdepan pelbagai kekangan, beliau menegaskan bahawa asas kepada agenda tersebut telah dibina dan perlu diteruskan secara berterusan.
Kon Yeow percaya dengan sokongan semua pihak, lebih ramai wanita akan tampil sebagai pemimpin berwibawa yang mampu menyumbang kepada kemajuan dan kesejahteraan Pulau Pinang pada masa hadapan.

