Kerajaan Negeri Pulau Pinang dijangka menerima maklum balas daripada syarikat yang terlibat dalam projek tambakan tapak pelupusan sampah Jelutong minggu depan sebelum keputusan lanjut dibuat mengenai projek tersebut.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye telah mengadakan perbincangan dengan syarikat berkenaan pada 11 Jun lalu dan tempoh dua minggu diberikan bagi membolehkan mereka meneliti cadangan yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri.
“Setakat ini, seminggu telah berlalu dan kita menjangkakan maklum balas daripada pihak syarikat pada minggu hadapan.
Selepas menerima jawapan mereka, keputusan akan diumumkan,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Ke-26 PBA Holdings Bhd (PBAHB) di sebuah hotel di sini hari ini.
Projek tersebut sebelum ini mendapat perhatian umum susulan gesaan daripada kumpulan Protect Karpal Singh Drive yang meminta Kerajaan Negeri menghentikan pelaksanaannya.

