Pulau Pinang dan Hungary berpotensi memperkukuh hubungan dua hala menerusi kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pemuliharaan warisan, pendidikan tinggi, perdagangan dan pelaburan, pengurusan air, teknologi hijau, pelancongan serta pertukaran budaya.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata demikian selepas menerima kunjungan Duta Hungary ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dr. Sándor Sipos bersama delegasi beliau bagi membincangkan peluang kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Menurut beliau, perbincangan turut menyentuh potensi kolaborasi antara institusi akademik, komuniti perniagaan dan agensi kerajaan.
Chow berkata, Pulau Pinang dan Hungary berkongsi aspirasi yang sama dalam memacu pembangunan mampan sambil memelihara warisan budaya.
Beliau turut menyambut baik kejayaan program biasiswa Hungary untuk pelajar Malaysia yang membuka peluang kepada golongan muda melanjutkan pengajian dan penyelidikan di luar negara, selain berharap hubungan yang terjalin akan diterjemahkan kepada kerjasama lebih kukuh dalam bidang ekonomi, pembangunan bakat, penyelidikan dan inovasi pada masa depan.

