Kerajaan Negeri Pulau Pinang menggesa peniaga tanpa lesen supaya memanfaatkan peluang berniaga secara sah di pasar awam dan kompleks makanan yang diuruskan pihak berkuasa tempatan berikutan masih terdapat ratusan lot perniagaan kosong di seluruh negeri.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, perubahan corak demografi dan penempatan penduduk di beberapa kawasan menyebabkan banyak gerai yang suatu ketika dahulu menjadi rebutan kini tidak lagi beroperasi.
Menurut beliau, proses permohonan dan temu duga bagi pengisian lot kosong masih dilaksanakan setiap bulan, sekali gus membuka peluang kepada peniaga yang layak untuk mendapatkan ruang perniagaan secara sah dan teratur.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong mengumumkan dana baharu berjumlah RM200 juta bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkembang serta meningkatkan kapasiti perniagaan.
Kemudahan pembiayaan sehingga RM5 juta itu menawarkan kadar serendah tiga peratus, manakala kementerian menyasarkan penyaluran RM15 bilion kepada sektor PKS tahun ini bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh ekosistem keusahawanan negara.

