GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menerima kunjungan kerja delegasi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia di pejabatnya di Komtar bagi membincangkan perkembangan pasaran modal negara, pembiayaan projek berteraskan kelestarian serta potensi kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Delegasi tersebut diketuai oleh Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi yang turut membincangkan peranan dan potensi Pulau Pinang dalam menyokong agenda pembangunan pasaran modal negara bagi tempoh lima tahun akan datang.
Dalam sesi pertemuan yang berlangsung hampir sejam itu, Mohammad Faiz menjelaskan bahawa Pulau Pinang mempunyai kedudukan yang kukuh dalam ekosistem semikonduktor, teknologi maju dan pembangunan bandar mampan, sekali gus berpotensi menjadi antara penyumbang penting kepada pertumbuhan pasaran modal negara pada masa hadapan.
Beliau turut berkongsi mengenai keperluan pembiayaan bagi pelbagai projek berkaitan perubahan iklim dan penyesuaian bandar di Pulau Pinang, termasuk usaha mitigasi banjir, pengurusan sumber air, pembangunan tenaga boleh diperbaharui, sistem perlindungan pantai serta perancangan bandar yang lebih lestari dalam menghadapi cabaran perubahan cuaca global.
Menurut beliau, pendekatan blended finance yang menggabungkan dana kerajaan, pelaburan swasta, dana konsesi dan instrumen sosial boleh menjadi antara mekanisme efektif untuk membiayai projek-projek kelestarian yang sukar memperoleh pelaburan komersial secara tradisional.
Mohammad Faiz turut mengiktiraf Pulau Pinang sebagai antara negeri yang aktif membangunkan ekosistem syarikat berteknologi tinggi dan semikonduktor, dengan lebih 100 syarikat disenaraikan di Bursa Malaysia selain beberapa syarikat baharu yang dijangka melangkah ke pasaran awam dalam beberapa tahun akan datang.
Selain itu, beliau turut menyentuh usaha memperkukuh pasaran modal Islam serta pembangunan tanah wakaf secara lebih produktif. Pada masa sama, beliau memuji beberapa inisiatif yang dilaksanakan oleh Pulau Pinang dalam bidang pengurusan wakaf, pembangunan mampan dan pengukuhan ekonomi negeri yang selari dengan aspirasi pembangunan jangka panjang negara.
Beliau berkata, SC juga sedang meneroka mekanisme pembiayaan sosial bagi membantu komuniti rentan serta memperluaskan akses pembiayaan kepada syarikat tempatan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui pelbagai instrumen seperti ekuiti persendirian, modal teroka, pasaran bon dan platform penyenaraian.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohammad Faiz memaklumkan bahawa pihaknya kini giat mempercepatkan proses pendigitalan dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam urusan kawal selia, termasuk proses penyenaraian syarikat awam permulaan (IPO), bagi meningkatkan kecekapan serta mempercepatkan tempoh kelulusan.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohammed; Pengarah Eksekutif Kewangan Korporat dan Pelaburan SC, Datuk Zain Azhari Mazlan; Pengarah Eksekutif Strategi Digital dan Inovasi SC, Dr. Wong Huei Ching; Penasihat Khas SC, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid; Ketua Kewangan Kemampanan SC, Neetasha Rauf serta Pengarah Pembangunan Pasaran SC, Shahrul Amry Abd Malek.
Difahamkan, delegasi SC dan Bursa Malaysia berada di Pulau Pinang selama dua hari bermula semalam bagi meninjau perkembangan industri semikonduktor dengan lebih dekat, selain mengadakan sesi libat urus bersama pelabur dan meneroka peluang kerjasama strategik yang mampu memberi manfaat kepada pembangunan industri serta ekonomi negeri.

