GEORGE TOWN – Seramai 21 mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Pentadbiran Awam mengadakan kunjungan akademik ke Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang hari ini bagi menimba pengetahuan berkaitan pengurusan dan pentadbiran Kerajaan Negeri.
Delegasi yang diketuai oleh Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (Sains Politik), Dr. Razlini Mohd. Ramli itu telah disambut oleh Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri, Mohd. Balkish Othman.
Turut hadir ialah Setiausaha Akhbar kepada Ketua Menteri merangkap Pengarah Komunikasi (Unit Penerangan), Yap Lee Ying; Setiausaha Sulit kepada Ketua Menteri, Lai Hong Meng serta pegawai-pegawai kanan daripada unit Pejabat Ketua Menteri.
Sepanjang lawatan tersebut, para mahasiswa diberikan penerangan mengenai struktur dan operasi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSUKPP), termasuk peranan serta fungsi Pejabat Ketua Menteri dalam menyelaras dasar, komunikasi dan urusan pentadbiran negeri.
Mahasiswa tahun akhir yang terlibat turut didedahkan dengan aspirasi Visi Penang2030 yang menjadi panduan pembangunan Pulau Pinang ke arah sebuah negeri berteraskan keluarga, hijau dan pintar, di samping menjadi inspirasi kepada negara.
Kunjungan akademik berkenaan turut memberi peluang kepada para mahasiswa untuk memahami secara lebih mendalam peranan sektor awam dalam proses membuat keputusan, penyelarasan dasar serta pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan negeri. Pengalaman tersebut sekali gus membantu mereka mengenali realiti sebenar dunia pentadbiran kerajaan.
Selain sesi taklimat, program itu turut disemarakkan dengan sesi soal jawab dan interaksi dua hala antara mahasiswa dan pegawai-pegawai kanan Pejabat Ketua Menteri yang membuka ruang kepada perkongsian ilmu, pengalaman serta pandangan mengenai landskap pentadbiran awam di Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow turut meluangkan masa menyantuni delegasi mahasiswa USM yang hadir dan beramah mesra bersama mereka di pejabatnya.
Sebagai penutup lawatan, para mahasiswa berkesempatan bertemu, beramah mesra serta merakam gambar kenang-kenangan bersama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

