Kerajaan Negeri hari ini memberi amaran tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan memanipulasi harga hasil pertanian sehingga menindas golongan petani dan membebankan pengguna di Pulau Pinang.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan serta Keusahawanan, Dato’ Rashidi Zinol mendedahkan wujud jurang harga yang sangat ketara antara harga di peringkat ladang yang diterima petani dengan harga jualan di pasaran terbuka. Menurut beliau, aduan yang diterima menunjukkan harga hasil pertanian di peringkat petani adalah terlalu rendah, namun meningkat berkali ganda apabila sampai kepada pengguna akhir di pasaran.
Beliau memberi contoh harga cili yang hanya sekitar RM3.50 sekilogram di ladang, tetapi boleh mencecah sehingga RM15 sekilogram di pasaran. Perkara ini, katanya, tidak sepatutnya berlaku dan terdapat kemungkinan pihak tertentu mengambil kesempatan terhadap isu kenaikan kos semasa untuk menaikkan harga secara tidak munasabah.
Rashidi turut menegaskan bahawa alasan kenaikan kos pengangkutan tidak boleh dijadikan justifikasi kerana kebanyakan kenderaan logistik sektor pertanian masih menerima subsidi minyak daripada kerajaan. Justeru, beliau berharap agensi berkaitan termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dapat mempertingkat pemantauan harga dari ladang ke pasaran bagi memastikan rantaian bekalan lebih adil.
Beliau berkata, FAMA digalakkan membeli terus hasil pertanian daripada petani bagi mendapatkan harga yang lebih munasabah sebelum menjualnya kepada pengguna pada harga yang lebih berpatutan. Langkah ini juga diyakini dapat membantu menstabilkan harga serta mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Kerajaan Negeri, katanya lagi, akan terus mengadakan perbincangan bersama semua pemegang taruh bagi memastikan rantaian bekalan makanan kekal stabil, telus dan adil untuk semua pihak, di samping membela nasib petani yang sering terkesan dengan ketidakseimbangan harga pasara

