PULAU PINANG bersedia untuk memperkukuh kerjasama dengan Perancis merangkumi industri bernilai tinggi, ekonomi digital serta pertukaran budaya susulan kunjungan hormat Duta Perancis ke Malaysia, Marc Abensour di Komtar, hari ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata negeri ini mengalu-alukan kerjasama dua hala yang lebih kukuh ketika Malaysia terus memposisikan dirinya sebagai destinasi pelaburan yang neutral dan stabil dalam menghadapi ketidaktentuan global.
Beliau turut menzahirkan penghargaan atas kunjungan tersebut serta menyatakan bahawa pendekatan diplomatik Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membantu memperkukuh hubungan dengan pelbagai negara rakan dagang. Chow turut menegaskan kepentingan Malaysia kekal sebagai negara neutral bagi memastikan kesan konflik global tidak menjejaskan ekonomi dan kehidupan rakyat.
Mengulas perkembangan ekonomi semasa, Chow mengakui bahawa konflik global memberi sedikit kesan jangka pendek termasuk peningkatan kos sekitar 10 hingga 15 peratus, kelewatan keputusan pelaburan serta gangguan rantaian logistik. Namun begitu, beliau menegaskan bahawa InvestPenang masih kekal optimistik terhadap daya tarikan pelaburan di Malaysia dan Pulau Pinang khususnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa peralihan rantaian bekalan global seperti dasar “China Plus One” serta perkembangan “China-Taiwan Plus One” telah memberi manfaat besar kepada Asia Tenggara, sekali gus mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi negeri.
Dalam pada itu, Chow menekankan fokus Pulau Pinang untuk terus memperkukuh ekosistem semikonduktor serta sektor elektrik dan elektronik (E&E), selain memastikan syarikat tempatan mampu berkembang menjadi pemain global dan tidak hanya bergantung kepada syarikat multinasional.
Sementara itu, Abensour menyatakan Perancis berminat untuk memperluaskan kehadirannya di Pulau Pinang serta memperkukuh kerjasama dalam sektor strategik termasuk semikonduktor, ekonomi biru, teknologi baharu serta penyelidikan dan inovasi. Beliau turut menyatakan bahawa hubungan Perancis–Malaysia merupakan “perkongsian kedaulatan” yang bertujuan membina daya tahan serta mengurangkan kebergantungan global.
Abensour turut menambah bahawa terdapat potensi besar untuk memperkukuh kerjasama akademik, penyelidikan dan inovasi antara kedua-dua pihak, termasuk dalam bidang ekonomi kreatif, pemeliharaan alam sekitar serta pembangunan teknologi masa depan yang memberi manfaat bersama.

