GEORGE TOWN – Kes melibatkan seorang wanita tempatan yang mendakwa dirinya dicederakan, diugut serta mengalami kerosakan kenderaan di Balik Pulau akan dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, siasatan kes tersebut dijalankan di bawah Seksyen 323, Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Menurut beliau, pihak polis telah menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai terlibat bagi membantu siasatan lanjut. “Kes ini akan dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk mendapatkan arahan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau menjelaskan bahawa pada 4 Mac lalu, kira-kira jam 1 petang, seorang wanita tempatan berusia 40 tahun hadir ke Balai Polis Balik Pulau bagi membuat laporan selepas mendakwa mengalami kecederaan serta menerima ugutan. Menurutnya, kejadian yang berlaku di Jalan Tun Sardon, Balik Pulau itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham yang melibatkan dua lelaki tempatan.
“Mangsa juga mendapati kenderaannya telah dirosakkan dalam kejadian berkenaan dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Balik Pulau,” katanya. Fam Yean Nie, 40, telah membuat laporan polis selain menjalani pemeriksaan perubatan yang mengesahkan kecederaan tisu lembut (soft tissue injury) pada tangan kanan tanpa sebarang patah tulang.

