Thursday, April 16, 2026
UtamaBeritaKerajaan Negeri perkasa agenda lestari dengan pelaksanaan Program TASKAL

Kerajaan Negeri perkasa agenda lestari dengan pelaksanaan Program TASKAL

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus komited dalam memperkasa agenda kelestarian di peringkat sekolah melalui pelaksanaan Program Transformasi Sekolah ke Arah Lestari (TASKAL) 2026 yang terbukti memberikan impak positif terhadap ekosistem pendidikan negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Chow Kon Yeow berkata, antara inisiatif berterusan yang dilaksanakan termasuk penyediaan ‘seed grant’ kepada sekolah yang memperoleh penarafan tiga hingga lima bintang bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kelestarian masing-masing.

Menurut beliau, pelaksanaan TASKAL sepanjang tahun 2025 menunjukkan pencapaian membanggakan apabila mencatatkan penyertaan 100 peratus sekolah di Pulau Pinang. Penglibatan menyeluruh ini mencerminkan kekuatan ekosistem pendidikan negeri yang mampu bergerak secara kolektif, tersusun dan berfokus.

“Inilah kekuatan sebenar Pulau Pinang apabila semua sekolah berkongsi visi yang sama dalam mendidik generasi masa depan dengan nilai kelestarian,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Program TASKAL 2026 dan Program TASKAL Pioneer 2026 di Pejabat Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) di sini hari ini.

Turut hadir ialah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid; Pengarah Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Mohamad Dziauuddin Mat Saad; Penolong Pengurus Besar Penang Green Council, Hoo Huey Ching; Pengerusi Persatuan Pendidik Lestari Hijau Pulau Pinang, Khou Jerome serta Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid JPNPP, Mohd Nor Suhaili Jamil.

Y.A.B. Chow Kon Yeow turut menegaskan bahawa inisiatif TASKAL merupakan manifestasi kepada Visi Penang2030, khususnya di bawah Tema C: Memperkasa Rakyat dan Tema D: Melabur dalam Persekitaran Fizikal. Usaha ini bukan sekadar penyampaian ilmu, malah menjadi platform strategik dalam melahirkan generasi berkemahiran tinggi yang turut memiliki kesedaran kelestarian yang kukuh.

“Ini merupakan asas kepada pembentukan masyarakat yang progresif, berdaya tahan dan seimbang,” jelas beliau. Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa dengan penglibatan sebanyak 396 sekolah awam di negeri ini, sasaran mencapai kadar kitar semula sebanyak 70 peratus menjelang tahun 2030 adalah sesuatu yang realistik.

Tambahnya, peranan sekolah sebagai institusi penting dalam pembentukan nilai mampu mempengaruhi amalan kelestarian dalam kalangan murid, seterusnya memberi impak kepada keluarga dan komuniti. Ini adalah kekuatan sebenar pendidikan sebagai ejen transformasi sosial.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa Kerajaan Negeri menyokong pendekatan mentor-mentee melalui Program TASKAL Pioneer yang dilihat mampu memperkukuh budaya perkongsian ilmu dan pengalaman antara sekolah.

Menurut beliau, sekolah yang lebih berpengalaman perlu memainkan peranan sebagai pembimbing kepada sekolah lain agar kemajuan dapat dicapai secara kolektif.

Oleh itu, saya menyeru barisan pengetua dan guru besar agar memperkukuh pemantauan dalaman bagi memastikan amalan seperti pengasingan sisa dilaksanakan secara konsisten dan berkesan.

Sekolah juga digalakkan memperluaskan inisiatif seperti pengurangan penggunaan plastik sekali guna, peningkatan kecekapan tenaga dan air, serta pendidikan berkaitan perubahan iklim selaras dengan aspirasi negeri ke arah pembangunan mampan. Yang paling penting, usaha ini perlu dijadikan budaya kerana kita ingin melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah bertanggungjawab terhadap alam sekitar sebagai pelaburan jangka panjang masa depan negeri, katanya.

Terdahulu, Y.A.B. Chow Kon Yeow turut menyampaikan sijil pelantikan kepada 30 sekolah yang dilantik sebagai Sekolah TASKAL Pioneer bagi program TASKAL Pioneer 2026, melibatkan sekolah rendah, sekolah menengah serta Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil.

Sementara itu, Mohamad Dziauuddin Mat Saad memaklumkan bahawa penglibatan sekolah dalam Program PASKAL mencapai 97 peratus pada tahun 2025, sekali gus menunjukkan kesiapsiagaan sekolah-sekolah di Pulau Pinang dalam menggerakkan agenda kelestarian.

“Sehubungan itu, sasaran JPNPP bagi tahun 2026 adalah untuk memastikan semua sekolah di negeri ini membudayakan amalan kitar semula, sekali gus menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pertama di Malaysia yang mencapai 100 peratus pelaksanaan budaya kitar semula dalam rutin harian sekolah,” katanya.

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments