PERMATANG BERANGAN – Ketidaktentuan global yang semakin memuncak bukan sahaja mencabar industri halal, malah membuka peluang strategik kepada Malaysia untuk mengukuhkan kedudukan sebagai hab halal yang stabil, diyakini dan berdaya tahan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkembangan geopolitik khususnya konflik di Asia Barat melibatkan laluan penting seperti Selat Hormuz memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan global.
Menurut beliau, situasi itu menjejaskan sektor tenaga serta mencetuskan kesan domino kepada industri halal termasuk peningkatan kos logistik, kelewatan penghantaran dan ketidaktentuan akses pasaran, terutama bagi produk sensitif seperti makanan segar dan barangan bersuhu terkawal.
“Namun, di sebalik cabaran ini, Malaysia berpeluang memperkukuh keupayaan domestik dan strategi eksport,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Industri PERDA Halal Park Fasa 2 di Kubang Menerong.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang; Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi & Keterjaminan Makanan, Dato’ Rashidi Zinol; Pengerusi PERDA, Dato’ Dr. Shaik Hussein Mydin dan Pengerusi MATRADE, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican.
Ahmad Zahid berkata, usaha mempelbagaikan pasaran eksport, memperkukuh rantaian bekalan domestik serta meningkatkan kecekapan logistik adalah penting bagi memastikan daya saing industri halal negara terus kekal. Beliau menegaskan Malaysia perlu menjadi peneraju bukan sahaja dalam pensijilan halal, tetapi juga dalam pengeluaran, inovasi dan perdagangan global, sejajar potensi pasaran halal yang diunjurkan mencecah USD5 trilion menjelang 2030.
Katanya, Malaysia kini diiktiraf di hampir 50 negara dan kekal di kedudukan teratas Indeks Ekonomi Islam Global, namun potensi industri halal negara masih luas untuk diterokai. Dalam perkembangan sama, beliau berkata eksport halal Malaysia mencecah RM61.79 bilion pada 2024 dengan sektor makanan dan minuman sebagai penyumbang utama melebihi RM34.03 bilion.
“Produk halal negara berjaya menembusi pasaran utama seperti China, Singapura, Jepun, Amerika Syarikat dan Indonesia, sekali gus membuktikan kualiti serta piawaian tinggi Malaysia,” katanya. Ahmad Zahid berkata pembangunan PERDA Halal Park merupakan langkah strategik dalam memperkukuh ekosistem industri halal serta menyokong pertumbuhan usahawan, khususnya di luar bandar.
Melalui Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030), Malaysia menyasarkan sumbangan 11 peratus kepada KDNK, eksport RM70 bilion serta 700,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi. Sementara itu, Mohamad berkata eksport halal Pulau Pinang meningkat daripada RM11.5 bilion pada 2023 kepada RM20.5 bilion pada 2024, dengan sumbangan meningkat kepada 36.4 peratus.
Menurutnya, bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, eksport halal negeri itu mencecah RM18.31 bilion, mencerminkan daya tahan sektor tersebut. Dalam pada itu, Shaik Hussein berkata PERDA Halal Park Fasa 2 melibatkan pembangunan kawasan seluas 4.4 hektar dengan kos RM33 juta dan dijangka bermula Julai ini serta siap dalam tempoh 24 bulan.
Katanya, projek itu merangkumi 22 unit industri teres setingkat serta pelbagai fasiliti sokongan termasuk pejabat, surau, dewan dan kompleks makanan. Beliau menambah, kawasan keseluruhan pembangunan halal seluas 120 ekar itu telah menerima pengiktirafan HALMAS sejak 2011, dengan 40 ekar telah dibangunkan setakat ini dan baki 70 ekar masih berpotensi untuk dimajukan pada masa hadapan.

