GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus mempergiat usaha membanteras penyalahgunaan dadah secara menyeluruh melalui pendekatan bersepadu yang melibatkan pelbagai agensi serta pihak berkepentingan.
Perkara tersebut ditegaskan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Chow Kon Yeow, ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Negeri Pulau Pinang Bilangan 1 Tahun 2026 di sini hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Dato’ Ruslin Jusoh, serta Pengarah AADK Negeri, Roswati Apin. Hadir sama Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Wan Nor Sakina Saad; barisan Pegawai Daerah; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; serta wakil agensi berkaitan.
Menurut Y.A.B. Chow Kon Yeow, MTMD berfungsi sebagai platform utama dalam menyelaras dasar, strategi serta pelaksanaan program di peringkat negeri dan daerah.
Mesyuarat kali ini memberi penekanan terhadap keperluan memperkukuh kerjasama strategik susulan peningkatan rampasan dadah, khususnya jenis methamphetamine (syabu), selain taktik sindiket yang semakin kompleks melalui penggunaan rangkaian digital dan operasi merentas sempadan.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar mempertingkatkan sinergi melalui pendekatan menyeluruh yang merangkumi aspek pencegahan, penguatkuasaan, rawatan, pemulihan serta penglibatan komuniti.
Di peringkat negeri, pelaksanaan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) di kesemua 29 jabatan kerajaan mencerminkan komitmen tinggi dalam membudayakan persekitaran kerja bebas dadah. Inisiatif ini turut diperluaskan kepada agensi berkaitan kerajaan serta sektor swasta bagi melahirkan tenaga kerja yang berintegriti, sihat dan produktif.
Dalam masa yang sama, pemerkasaan Program Skuad Antidadah Pulau Pinang terus diperkukuh sebagai platform kesukarelawanan belia, termasuk melalui penggunaan platform digital e-Skuad bagi meningkatkan keberkesanan aktiviti pencegahan dan kesedaran dalam komuniti.
Secara keseluruhan, mesyuarat MTMD kali ini mempertegaskan komitmen berterusan Kerajaan Negeri bersama agensi terlibat untuk melaksanakan tindakan yang lebih tersusun dan berkesan dalam membanteras ancaman dadah secara holistik.
Kerjasama strategik ini menjadi tunjang utama dalam merealisasikan matlamat Dadah Terkawal 2030, selaras dengan aspirasi pembangunan negeri menerusi Visi Penang2030.
Difahamkan, dalam mesyuarat tersebut, pihak AADK turut membentangkan dua kertas pertimbangan iaitu fokus lima tahun Kampung Aspirasi Bebas Dadah (KABD) serta laporan impak gerak kerja Skuad Antidadah ke arah memperkasa kesukarelawanan belia negeri.
Selain itu, dua kertas makluman turut dibentangkan melibatkan laporan penyalahgunaan dadah oleh AADK serta senario tangkapan dan rampasan dadah oleh Polis Diraja Malaysia sebagai rujukan strategik kepada semua ahli mesyuarat.
Mengulas lanjut, Y.A.B. Chow Kon Yeow memaklumkan bahawa berdasarkan statistik tahun 2025, seramai 13,655 individu dikenal pasti sebagai penagih dan penyalah guna dadah di Pulau Pinang. Daripada jumlah tersebut, 95.2 peratus adalah lelaki manakala 4.8 peratus wanita.
Dadah jenis Amphetamine-Type Stimulants (ATS) mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 8,070 orang atau 59.1 peratus, dengan majoriti melibatkan golongan belia berusia antara 15 hingga 39 tahun, iaitu seramai 5,539 individu atau 76.4 peratus daripada keseluruhan pengguna ATS.
Terdahulu, Y.A.B. Chow Kon Yeow menerima kunjungan hormat delegasi AADK yang diketuai oleh Dato’ Ruslin Jusoh bersama Roswati Apin serta Pengarah Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa, Rashinah Abdul Hamid sebelum mempengerusikan mesyuarat tersebut.
Dalam pertemuan berkenaan, Dato’ Ruslin Jusoh memuji komitmen Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang sentiasa proaktif dan konsisten dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah, termasuk melalui kerjasama erat dengan PDRM serta agensi berkaitan lain.
Sebagai tanda penghargaan, beliau turut menyampaikan produk hasil tangan penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Jelebu, Negeri Sembilan kepada Y.A.B. Ketua Menteri.

