Thursday, April 16, 2026
UtamaBeritaKetua Menteri meraikan anak Permata JKM, Nur Anis Nabilah yang meraih 9A+...

Ketua Menteri meraikan anak Permata JKM, Nur Anis Nabilah yang meraih 9A+ dalam SPM

Nur Anis Nabilah Muhamad Zahir yang tular baru-baru ini selepas meraih keputusan cemerlang A+ bagi kesemua sembilan subjek dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, telah memenuhi jemputan khas ke Majlis Jamuan Aidilfitri Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pulau Pinang yang berlangsung di Komtar pada 6 April 2026.

Bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Balik Pulau itu hadir bersama ayahnya, Muhamad Zahir Abdul Rahman, 51, serta pengasuh yang menjaganya sejak kecil, Aliza Che Ros.

Lebih istimewa, kejayaan Nur Anis Nabilah sekeluarga turut diraikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang meluangkan masa bersama mereka dalam majlis tersebut.

Dalam majlis sama, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim telah menyampaikan hadiah berupa iPad kepada Nur Anis Nabilah, dengan disaksikan oleh Pengarah Kewangan Negeri, Dato’ Zairi Mat Ali, Pengarah Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang, Rozita Ibrahim serta warga jabatan berkenaan.

Penganjuran majlis Aidilfitri oleh JKM negeri yang digabungkan dengan acara meraikan kejayaan Nur Anis Nabilah sekeluarga amat bermakna, apatah lagi ayahnya masih merupakan klien jabatan tersebut.Walaupun diraikan secara sederhana, suasana itu cukup memberi makna mendalam bahawa setiap kejayaan tidak datang dengan mudah.

Kejayaan yang dikecapi oleh Nur Anis Nabilah jelas membuktikan bahawa cabaran hidup, termasuk kekangan fizikal yang dihadapi ibu bapanya, bukanlah penghalang untuk beliau mencipta kecemerlangan dalam akademik. Menurutnya, sepanjang menuntut di MRSM, sebahagian besar masanya diisi dengan mengulang kaji pelajaran selain menghadiri kelas tuisyen pada waktu petang dan malam.

“Apabila ada masa lapang atau terasa letih, saya akan membaca buku cerita berunsurkan cabaran hidup atau komik sebagai cara mengisi masa,” katanya ringkas ketika ditemui Buletin Mutiara. Beliau turut berkongsi bahawa minat membaca yang mendalam menjadikannya seorang ‘ulat buku’, hasil didikan ayahnya sejak kecil.

“Pernah saya berbelanja sehingga RM500 di kedai buku kerana minat ini,” ujarnya, sambil memaklumkan hasrat untuk menyambung pengajian dalam negara agar lebih dekat dengan keluarga. Difahamkan, Nur Anis Nabilah bakal melanjutkan pengajian dalam bidang perakaunan bertauliah (ACCA) di Universiti Sunway dengan tajaan daripada Yayasan Peneraju.

Sementara itu, Muhamad Zahir ketika ditemui menjelaskan bahawa beliau telah menerapkan budaya membaca dalam diri anaknya sejak kecil. “Saya dan isteri masing-masing mempunyai keterbatasan penglihatan. Jadi, untuk memastikan anak kami celik dunia, kami tekankan kepentingan membaca.

“Walaupun penglihatan saya terhad, saya mahu dia melihat dunia melalui ilmu,” katanya yang kini bekerja sebagai tukang urut di Excellent Blind Massage, Kompleks Bukit Jambul, Bayan Baru.

Beliau dalam masa sama merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri, khususnya JKM Pulau Pinang, atas sokongan berterusan yang diberikan dalam membantu beliau kekal tabah sebagai tulang belakang keluarga. Kisah Nur Anis Nabilah ini menjadi bukti nyata bahawa di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalan.

Syabas Anis sekeluarga!

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments