Thursday, April 16, 2026
UtamaBeritaBufet nostalgia P. Ramlee meriahkan majlis iftar anak yatim

Bufet nostalgia P. Ramlee meriahkan majlis iftar anak yatim

BATU FERRINGHI , 12 Mac – Hotel Shangri-La Golden Sands di sini, menghidupkan nostalgia era kegemilangan seni tanah air menerusi penganjuran bufet Nostalgia P. Ramlee yang dilancarkan bersempena majlis berbuka puasa bersama kanak-kanak dari Rumah Anak Yatim Islam Pulau Pinang.

Pengurus Besar Shangri-La Golden Sands dan Shangri-La Rasa Sayang, Jegan Selvarajan berkata, majlis itu diadakan sebagai penghormatan kepada ikon seni negara, Tan Sri P. Ramlee, selain menyemarakkan semangat Ramadan melalui gabungan elemen warisan budaya, kebajikan dan kebersamaan komuniti.

“Program ini bukan sahaja mengimbau nostalgia karya dan sumbangan P. Ramlee kepada industri seni tanah air, malah memberi peluang kepada komuniti untuk berkongsi kegembiraan Ramadan bersama anak-anak dari rumah kebajikan.

“Ia juga mencerminkan komitmen kami untuk terus memelihara warisan budaya tempatan sambil menyemai nilai keprihatinan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat,” katanya di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, penganjuran acara itu bukan sahaja mengimbau kegemilangan seni tanah air, malah mencerminkan semangat Ramadan yang menekankan nilai kasih sayang, kebersamaan dan keprihatinan terhadap komuniti.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran 53 kanak-kanak daripada rumah kebajikan itu yang terdiri daripada 27 lelaki dan 26 perempuan.

Turut hadir, Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang, Tan Sri Yussof Latiff bersama isteri, Puan Seri Suziwati Baidawi serta cucu Allahyarham P. Ramlee, Natasya Nasir.

Acara turut dimeriahkan dengan persembahan penghormatan kepada karya legenda itu apabila peniru gaya P. Ramlee, Suhaimi Ahmad, mendendangkan beberapa lagu klasik yang sinonim dengan figura berkenaan.

Bufet Nostalgia P. Ramlee yang ditampilkan turut dihiasi dengan dekorasi serta sajian yang diinspirasikan daripada era kegemilangan seni Allahyarham, sekali gus menambah suasana klasik sepanjang majlis berbuka puasa tersebut.

Majlis diakhiri dengan penyampaian duit raya kepada setiap kanak-kanak sebagai tanda penghargaan dan berkongsi kegembiraan sempena Ramadan. – MalaysiaGazette

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments