GEORGE TOWN, 12 Mac – Penganjuran majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri di Pulau Pinang masih boleh diteruskan secara sederhana sebagai medium menyantuni rakyat serta mengeratkan perpaduan masyarakat berbilang kaum.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri hanya menganjurkan satu majlis rasmi bersama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib yang mana, acara tersebut lazimnya diadakan dalam suasana sederhana setiap tahun.
Menurutnya, majlis berkenaan bukan bertujuan menonjolkan kemewahan sebaliknya sebagai tradisi untuk mendekati rakyat dengan menyediakan hidangan tempatan.
“Majlis ini menjadi platform untuk kita menyantuni rakyat.
“Pada masa sama, orang ramai juga menantikan peluang bertemu Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang serta kepimpinan negeri,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Komtar pada Khamis.
Terdahulu, media melaporkan kerajaan mengambil pendekatan berjimat dengan tidak mengadakan majlis rumah terbuka melibatkan agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLIC) susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, langkah itu bertujuan memberi mesej supaya semua pihak mengamalkan perbelanjaan lebih cermat dan sederhana ketika dunia berdepan ketidaktentuan akibat konflik tersebut.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, jabatan serta agensi kerajaan di negeri ini turut dinasihatkan supaya mengadakan sambutan Aidilfitri secara dalaman dan berskala kecil.
Katanya, kebanyakan jabatan memilih untuk mengadakan majlis secara ‘in-house’ atau potluck yang hanya melibatkan kakitangan.
“Jika hanya melibatkan kira-kira 50 hingga 100 orang tanpa jemputan luar, saya fikir ia tidak menjadi masalah,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang majlis yang melibatkan perbelanjaan besar atau dianjurkan secara mewah wajar dielakkan pada masa ini.
“Jika ada agensi bercadang mengadakan majlis besar dengan kos tinggi, elok ditangguhkan dahulu. Kita perlu meminimumkan perbelanjaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, majlis rumah terbuka di peringkat komuniti seperti yang dianjurkan wakil rakyat atau Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) secara sederhana juga boleh diteruskan kerana berperanan sebagai ruang menyantuni rakyat.
Tambahnya, program sedemikian penting dalam usaha mengukuhkan perpaduan masyarakat terutama ketika terdapat pihak tertentu yang cuba memecah-belahkan rakyat.
“Dalam keadaan sekarang, kita perlukan platform untuk menyatukan rakyat serta memupuk semangat kebersamaan.
“Majlis seperti ini dapat mengeratkan hubungan masyarakat berbilang kaum, khususnya ketika sambutan Aidilfitri,” katanya.
Sumber : Sinar Harian

