SERl DELIMA, 10 Mac – Seramai 55 golongan asnaf menerima sumbangan bakul Ramadan dalam satu majlis berbuka puasa yang dianjurkan di kawasan Seri Delima. Program tersebut bertujuan membantu meringankan beban golongan memerlukan sepanjang bulan Ramadan di samping mengeratkan hubungan antara komuniti setempat.
Sumbangan berkenaan merupakan inisiatif kebajikan bagi memastikan penerima mendapat bantuan barangan keperluan asas ketika menjalani ibadah puasa. Majlis itu turut menjadi platform untuk masyarakat berkumpul, berkongsi rezeki serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk.

Sumbangan wakil AEO Freight Sdn. Bhd. Datuk Rijal Abdullah Sharri bersama Datin Norhaslinda Abdul Wahab sebagai usaha meringankan beban golongan memerlukan, khususnya dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba.
Salah seorang penerima, Halim Ooi, 79, meluahkan rasa syukur atas keprihatinan yang dizahirkan oleh pihak penganjur dan penyumbang.
“Syukur sangat, bantuan ini bukan sahaja membantu menampung perbelanjaan harian, malah memberi sedikit kelegaan untuk membuat persiapan hari raya,” katanya.

Majlis Berbuka Puasa Seri Delima itu dianjurkan oleh MPKK Sungai Gelugor dan MPKK Jalan Akuarium dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gelugor serta Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, dalam usaha memastikan kebajikan penduduk setempat terus terpelihara.

