Kerajaan Negeri Pulau Pinang melancarkan Penang OneMap+, platform digital yang menghimpunkan pelbagai maklumat penting negeri dalam satu platform yang lebih tersusun dan mudah diakses.
Pelancaran disempurnakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sempena Penang2030 Festival Lite KOMTAR 2026 sebagai sebahagian usaha memperkukuh agenda pendigitalan negeri.
Menerusi Penang OneMap+, orang ramai boleh mengenal pasti lokasi kamera litar tertutup (CCTV), peranti defibrilator luaran automatik (AED) serta stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di seluruh Pulau Pinang.
Versi semasa platform itu memaparkan 1,977 CCTV, 439 AED dan 494 stesen pengecas EV, sekali gus membantu rakyat mendapatkan maklumat berkaitan keselamatan, kecemasan dan mobiliti dengan lebih mudah.
Penang OneMap+ dibangunkan oleh PLANMalaysia Negeri Pulau Pinang dan Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Negeri (BTMKN) dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan.
Menurut Kon Yeow, pelancaran ini merupakan fasa pertama dan simbol ‘+’ mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus menambah maklumat serta memperluas fungsi platform itu, selaras dengan Visi Penang2030 untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri pintar yang memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.

