Beliau menjelaskan bahawa kajian tersebut dijalankan melalui temu bual isi rumah menggunakan sampel terhad, dengan Pulau Pinang hanya melibatkan 205 blok persampelan daripada keseluruhan 2,830 blok di seluruh negara.
Sebaliknya, data rasmi Tourism Malaysia menunjukkan Pulau Pinang merekodkan 8.76 juta pengunjung hotel pada tahun 2025, terdiri daripada 5.29 juta pelancong domestik dan 3.47 juta pelancong antarabangsa, sekali gus meletakkan negeri itu antara destinasi pelancongan utama negara.
Menurut beliau, statistik penginapan hotel lebih hampir kepada keadaan sebenar kerana ia berdasarkan rekod transaksi yang menyeluruh.
Data Kajian Pelancongan Domestik 2025 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia perlu ditafsir secara menyeluruh kerana ia merupakan kajian berasaskan persampelan dan bukannya rekod sebenar penginapan hotel atau ketibaan pelancong.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, dapatan kajian tersebut merangkumi pelbagai kategori perjalanan termasuk lawatan sehari dan perjalanan pulang ke kampung, justeru tidak boleh dijadikan satu-satunya penanda aras bagi mengukur prestasi sebenar sektor pelancongan sesebuah negeri.
Mengulas lanjut, Wong berkata definisi pelancong domestik dalam kajian Jabatan Perangkaan turut merangkumi individu yang melakukan lawatan sehari serta mereka yang pulang menziarahi keluarga, dengan sebahagian besar responden menginap di rumah saudara-mara dan bukannya di hotel.
Beliau menegaskan bahawa Pulau Pinang terkenal sebagai destinasi pelancongan berasaskan pengalaman, budaya, warisan dan acara, yang kebanyakannya melibatkan penginapan lebih lama serta perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi.
Oleh itu, prestasi sebenar industri pelancongan negeri wajar dinilai berdasarkan gabungan pelbagai indikator termasuk data penginapan hotel, ketibaan pelancong dan impak ekonomi, bukannya bergantung kepada satu kajian persampelan semata-mata.

