Kerajaan Negeri terus memperkukuh rangkaian infrastruktur jalan raya di Seberang Perai Selatan (SPS) menerusi pembukaan Sambungan Jalan 80 Kaki di Jalan Tasek Mutiara 10 serta pemasangan lampu isyarat baharu di persimpangan Jalan Hijauan Hills 1–Jalan Valdor yang dijangka memberi manfaat besar kepada pengguna jalan raya dan penduduk setempat.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, kejayaan pelaksanaan projek tersebut adalah hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan, pemaju serta komuniti setempat.
Menurut beliau, pembinaan jalan penghubung berkenaan merupakan antara komitmen yang telah dijanjikan kepada penduduk kawasan tersebut pada pilihan raya lalu.
“Walaupun projek ini berdepan pelbagai cabaran sepanjang pelaksanaannya, Kerajaan Negeri tetap berusaha memastikan ia dapat direalisasikan demi kepentingan rakyat.
“Kejayaan hari ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri bukan sahaja merancang pembangunan, malah komited untuk menunaikan janji yang telah dibuat kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian projek tersebut di sini.
Turut hadir ialah Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Jason H’ng Mooi Lye; Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat merangkap ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Mohd. Ibrahim Md. Nor; Pengarah Jabatan Perhubungan Komuniti MBSP, Tpr. Mohd. Ridzal Abdul, barisan Ahli Majlis MBSP serta wakil-wakil pemaju.
Majlis tersebut melibatkan dua komponen utama iaitu pembukaan sambungan jalan rizab 80 kaki yang menghubungkan Jalan Tasek Mutiara 10 dengan Jalan Hijauan Hills 1 oleh Tetuan Palmington Sdn. Bhd., selain pemasangan lampu isyarat dan kerja-kerja naik taraf Persimpangan Jalan Hijauan Hills 1–Jalan Valdor yang dilaksanakan oleh Tetuan Asas Dunia.
Mengulas lanjut, Zairil berkata pembukaan jalan baharu itu memainkan peranan penting dalam menghubungkan kawasan Bandar Tasek Mutiara dengan Hijauan Hills dan Jalan Valdor, sekali gus membantu melancarkan aliran trafik serta memudahkan pergerakan harian penduduk.
Antara kawasan yang dijangka menerima manfaat secara langsung ialah Bandar Tasek Mutiara, Pearl City, Hijauan Hills, Valdor, Taman Merak Jaya serta kawasan sekitar Simpang Ampat.
Selain memperbaiki aliran trafik, projek tersebut turut meningkatkan aksesibiliti ke beberapa institusi pendidikan dan kemudahan awam berhampiran.
Beliau berkata, jalan penghubung sepanjang kira-kira 380 meter itu dibina sebagai jalan dua hala empat lorong dalam rizab jalan selebar 80 kaki dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan keselamatan.
“Antara kemudahan yang disediakan termasuk gantri berketinggian 2.8 meter, lampu amaran, bonggol jalan, lampu jalan dan papan tanda arah.
“Keseluruhan projek pembinaan jalan ini telah siap sepenuhnya dengan kos sekitar RM5 juta,” jelas beliau.
Menurutnya lagi, kenderaan berat yang melebihi had ketinggian 2.8 meter tidak dibenarkan menggunakan laluan tersebut bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan kesejahteraan penduduk sekitar.
Tambah beliau, pihak pemaju akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penyelenggaraan jalan berkenaan bagi tempoh tiga tahun selaras dengan syarat kelulusan yang telah ditetapkan.
Menyentuh mengenai projek pemasangan lampu isyarat dan kerja naik taraf Persimpangan Jalan Hijauan Hills 1–Jalan Valdor, Zairil berkata projek tersebut dilaksanakan sebagai salah satu syarat kelulusan Kebenaran Merancang yang diberikan pada 15 November 2022 bagi pembangunan stesen minyak dan pembangunan komersial berkaitan.
Walaupun projek pembangunan tersebut masih belum dimulakan, pihak pemaju telah diarahkan untuk menyiapkan terlebih dahulu kerja-kerja naik taraf persimpangan berkenaan bagi memastikan aliran trafik dapat ditambah baik lebih awal.
“Antara kerja utama yang telah dilaksanakan termasuk menukar konfigurasi persimpangan sedia ada daripada sistem ‘left-in left-out’ kepada persimpangan berlampu isyarat, pelebaran Jalan Valdor di kedua-dua arah, pemasangan lampu jalan tambahan, pembinaan kemudahan pusingan U bagi kedua-dua hala serta pembinaan bonggol jalan di Jalan Hijauan Hills 1.
“Keseluruhan kos bagi kerja-kerja naik taraf persimpangan ini dianggarkan berjumlah RM3.5 juta,” katanya.
Beliau berharap kedua-dua projek tersebut akan terus memberi impak positif kepada kelancaran trafik, meningkatkan tahap keselamatan jalan raya serta menyokong pembangunan pesat yang sedang berlaku di kawasan SPS.

