Kerajaan Negeri Perkasa Eksport, Sasar Perdagangan Seimbang dengan China
Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyasarkan hubungan perdagangan dua hala yang lebih seimbang antara Malaysia khususnya Pulau Pinang dan China bagi memastikan manfaat ekonomi yang lebih menyeluruh, kata YB Goh Choon Aik. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program ‘International Export Empowerment & Global Entrepreneurship Programme (GLOBEX) Siri 2: China’ di Holiday Inn & Suites Penang, Prai pada 21 April, yang menghimpunkan seramai 50 usahawan.
Program anjuran Federal Agricultural Marketing Authority dengan kerjasama Penang Halal International itu menjadi platform strategik dalam memperkasa usahawan tempatan dengan pengetahuan serta kemahiran untuk menembusi pasaran antarabangsa khususnya China. Mengulas statistik semasa, beliau memaklumkan eksport Malaysia ke China pada Mac mencecah RM17.25 bilion atau 11.6 peratus daripada jumlah eksport keseluruhan RM148.75 bilion, manakala import dari China berjumlah RM31.79 bilion atau 25.6 peratus daripada keseluruhan import, sekali gus mencatat defisit dagangan sebanyak RM14.54 bilion.
Menurut beliau, situasi tersebut menunjukkan masih terdapat ruang luas untuk meningkatkan eksport produk ‘Made in Malaysia’, khususnya dari Pulau Pinang, bagi mencapai imbangan perdagangan yang lebih mampan. Dalam masa sama, beliau menegaskan keperluan untuk usahawan tempatan memperluas pasaran global memandangkan pergantungan kepada pasaran domestik sahaja tidak lagi mencukupi dalam persekitaran ekonomi yang semakin mencabar.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan memahami keperluan pasaran China termasuk aspek citarasa pengguna, pematuhan peraturan dan strategi pemasaran yang selari dengan budaya tempatan. Dalam sektor halal pula, Pulau Pinang mencatat peningkatan ketara apabila eksport produk halal meningkat daripada RM11.5 bilion pada 2023 kepada RM20.5 bilion pada 2024, selain merekodkan RM18.31 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, menunjukkan momentum pertumbuhan yang kukuh.
Bagi memastikan kelestarian industri halal, Kerajaan Negeri melalui Penang Halal International terus memainkan peranan penting dalam membangunkan ekosistem halal tempatan. Antara inisiatif utama termasuk penganjuran Penang International Halal Expo (PIHEX) 2026 dari 2 hingga 5 Julai di Politeknik Seberang Perai, selain pelaksanaan program sokongan pensijilan halal kepada usahawan industri kecil bermula Januari 2026 serta pembangunan Pusat Inkubasi Halal Pulau Pinang.
Dalam perkembangan berkaitan, negeri ini turut membangunkan Taman Perindustrian Halal Pulau Pinang yang merangkumi tiga lokasi utama di Bukit Minyak dan Kubang Menerong dengan keluasan keseluruhan 198.62 ekar serta menempatkan 14 syarikat multinasional yang memiliki pensijilan halal Malaysia. Inisiatif ini dijangka terus memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai hab halal serantau.
Sementara itu, Pengarah Kanan Pemasaran Antarabangsa FAMA, Noorsham Ramli berkata kerajaan Persekutuan turut menubuhkan pasukan petugas bagi memantau cabaran global termasuk kenaikan harga bahan api dan ketidaktentuan ekonomi. Beliau menambah, FAMA akan terus menyokong pemain industri meneroka pasaran alternatif dan mengurangkan kebergantungan kepada satu destinasi eksport melalui penyertaan dalam platform perdagangan antarabangsa seperti pameran Foodex di Jepun.

