GEORGE TOWN,8 Mac – Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib bersama isterinya, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah meluangkan masa menyantuni orang ramai di Bazar Ramadan Bayan Lepas.
Dalam lawatan tersebut, mereka beramah mesra dengan pengunjung serta peniaga yang sedang membuat persiapan dan membeli juadah berbuka puasa. Kehadiran pasangan itu turut menarik perhatian orang ramai yang tidak melepaskan peluang untuk bertemu dan bergambar bersama.
Tun Ramli dan isterinya juga mengambil kesempatan bertanya khabar kepada peniaga selain meninjau sendiri suasana bazar yang menjadi tumpuan masyarakat sepanjang bulan Ramadan.
Lawatan itu dilihat sebagai usaha mendekati rakyat serta mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat.
Bazar Ramadan Bayan Lepas yang menempatkan kira-kira 150 gerai adalah antara bazar yang menjadi tumpuan di bahagian pulau, menawarkan pelbagai pilihan juadah berbuka puasa daripada makanan tradisional sehingga hidangan moden.

