GEORGE TOWN,7 Mac – Pemilik tanah di Pulau Pinang disaran berhubung terus dengan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) masing-masing bagi mendapatkan penjelasan berhubung kadar Cukai Tanah 2026 serta mengemukakan rayuan jika perlu.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata langkah itu juga disarankan kepada wakil rakyat seperti Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri sekiranya terdapat sebarang persoalan berkaitan cukai tanah berkenaan. 
Menurut beliau, kadar baharu cukai tanah di negeri itu ditentukan berdasarkan beberapa faktor termasuk pengelasan tanah sama ada di kawasan bandar atau desa, keluasan tanah, kegunaan semasa serta kadar yang ditetapkan. 
Kerajaan negeri turut memantau isu yang dihadapi pemilik tanah dari semasa ke semasa dan akan menambah baik garis panduan berkaitan pelaksanaan serta proses rayuan cukai tanah bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan sistem baharu itu. 
Beliau juga memaklumkan bahawa keputusan bagi kes rayuan yang diterima oleh Pejabat Daerah dan Tanah akan diumumkan selepas Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri pada minggu hadapan. 
Semakan kadar cukai tanah itu melibatkan hampir 370,000 hak milik tanah di seluruh negeri dan merangkumi pelbagai kategori termasuk kediaman, perniagaan, perindustrian, pertanian serta kategori khas lain.

