Friday, April 17, 2026
UtamaBeritaYang di-Pertua Pulau Pinang santuni sertai Majlis Iftar Perdana USM

Yang di-Pertua Pulau Pinang santuni sertai Majlis Iftar Perdana USM

PULAU PINANG, 03 Mac 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini menerima kunjungan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib dan isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah ke Majlis Iftar Perdana yang berlangsung di
Perkarangan Masjid Al-Malik Khalid, Pusat Islam USM.

Majlis yang bermula seawal jam 6.15 petang itu menghimpunkan barisan kepimpinan universiti, warga kampus, mahasiswa, wakil jabatan kerajaan, industri serta komuniti setempat dalam suasana penuh keberkatan sempena Ramadan al-Mubarak.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dalam ucapan aluannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian Tun dan Toh Puan bersama warga universiti dan masyarakat.

Menurut beliau, Majlis Iftar Perdana merupakan antara pengisian utama Agenda Ihya’ Ramadan USM yang diselaraskan oleh Pusat Islam melalui Jawatankuasa Aktiviti Ramadan peringkat universiti.

“Penyediaan iftar ini telah menjadi tradisi universiti pada setiap Ramadan sebagai tanda kebersamaan dan keprihatinan terhadap warga kampus serta masyarakat sekitar,” katanya.

Tahun ini, sebanyak 15 aktiviti utama dirancang sepanjang Ramadan, bermula sejak bulan Syaaban menerusi Majlis Pelancaran Hilal Ramadan dan akan berakhir dengan sambutan Aidilfitri pada bulan Syawal.

Sepanjang Ramadan, USM menyediakan juadah berbuka puasa setiap hari untuk kira-kira 1,500 orang terdiri daripada pelajar, staf dan komuniti setempat.

Abdul Rahman turut merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta agensi yang menyalurkan sumbangan zakat bagi membantu pelajar kategori asnaf dan B40.

Katanya, sokongan tersebut menjadi pemangkin penting dalam
memperkasa agenda pendidikan dan kebajikan pelajar agar mereka dapat meneruskan pengajian tanpa kekangan kewangan.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian sumbangan dan cenderahati, bacaan doa serta solat Maghrib berjemaah sebelum diteruskan dengan solat Isyak dan Tarawih.

Penganjuran majlis berkenaan mencerminkan komitmen berterusan USM dalam memperkukuh hubungan strategik bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang di samping memupuk nilai kesejahteraan, kesukarelawanan dan kebersamaan dalam kalangan warga universiti dan masyarakat.

Majlis berakhir kira-kira jam 10 malam dengan jamuan moreh. – MalaysiaGazette

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments