GEORGE TOWN – Sehingga 1 Mac 2026, sebanyak 18 operasi pemeriksaan telah dilaksanakan melibatkan Bazar Ramadan dan gerai makanan lain di seluruh negeri Pulau Pinang.
Jelas Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen, sebanyak 1,256 gerai telah diperiksa dalam tempoh tersebut bermula awal Ramadan.
“Sepanjang itu sebanyak 2,452 pengendali makanan telah disaring dan diberikan pendidikan kesihatan dan 235 notis kompaun dikeluarkan dengan jumlah keseluruhan RM26,950, kebanyakannya melibatkan kesalahan kebersihan semasa pengendalian makanan.

“Dalam pemeriksaan tersebut sebanyak 60 sampel makanan telah diambil untuk analisis makmal.
“Tindakan susulan akan diambil sekiranya didapati tidak mematuhi standard keselamatan makanan,” ujarnya pada Program Jelajah Mesra Bazar Ramadan (Prangin Mall) di sini semalam.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran dan Pegarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dato’ Dr. Fazilah Shaik Allaudin.
Tambahnya pemeriksaan tersebut sangat penting dalam memastikan keselamatan dan kualiti makanan terpelihara sepanjang Ramadan 2026.
Mengulas lanjut Zi Sen memaklumkan peringatan mesra kepada masyarakat mengenai kepentingan keselamatan turut disampaikan menerusi siara radio Mutiara FM.
“Dalam memastikan keselamatan makanan, pemeriksaan kebersihan, kualiti makanan, pembungkusan dan pelabelan turut dijalankan.
“Pensampelan makanan berisiko tinggi turut diambil untuk dianalisis serta pengambilan tindakan terhadap aduan berasan yang diterima oleh orang awam.
“Turut diadakan adalah pendidikan kesihatan kepada pengendali makanan melalui sesi taklimat bersama penganjur bazar,” katanya lagi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.
Sumber:Buletin mutiara

