GEORGE TOWN, 12 Februari – Wabak Tuberkulosis (tibi) di Pulau Pinang masih terkawal dengan tiada kluster dilaporkan setakat minggu epid kelima tahun ini, kata Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang (EXCO) Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen.
Menurut Daniel Gooi, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang telah mengambil pendekatan proaktif bagi mengesan dan mengekang penularan jangkitan penyakit tibi, selaras dengan kenyataan yang dikemukakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
“JKN Pulau Pinang sentiasa memantau tren kejadian penyakit tibi dalam komuniti dan mengambil tindakan pencegahan dan kawalan sewajarnya.
“Sehingga minggu epid kelima, terdapat 150 kes tibi kumulatif dilaporkan di negeri ini yang sedang mendapatkan rawatan namun tiada kluster yang terbentuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Daniel Gooi, penyakit tibi tertakluk kepada keperluan pelaporan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342], yang mewajibkan pengamal perubatan melaporkan setiap kes kepada Pejabat Kesihatan Daerah bagi membolehkan pengesanan contact rapat dan memastikan pesakit menerima rawatan lengkap.
“Penyakit tuberkulosis merupakan penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis dan ia boleh merebak melalui titisan udara daripada pesakit yang belum menerima rawatan, sama ada ketika batuk, bersin atau bercakap.
“Gejala lazim penyakit tibi termasuk batuk berpanjangan melebihi dua minggu, demam, berpeluh pada waktu malam, hilang selera makan, penurunan berat badan dan dalam kes serius, batuk berdarah.
“Individu yang mengalami gejala ini disarankan menjalani pemeriksaan segera di fasiliti kesihatan berhampiran bagi mendapatkan rawatan awal,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan sebanyak 10 kluster baharu kes jangkitan tuberkulosis atau tibi dilaporkan di negara ini sehingga 7 Februari lalu, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, Selangor mendahului dengan merekodkan empat kluster baharu manakala masing-masing satu di Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perlis dan Sabah.
Sumber:MalaysiaGazette

