Monday, March 9, 2026
UtamaBeritaKerajaan Negeri komited pastikan pembangunan insfrastruktur awam penuhi keperluan rakyat

Kerajaan Negeri komited pastikan pembangunan insfrastruktur awam penuhi keperluan rakyat


SEBERANG JAYA, 7 Februari – Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus komited memastikan pembangunan infrastruktur awam dilaksanakan secara menyeluruh, terancang dan inklusif bagi memenuhi keperluan rakyat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa projek pembinaan semula Pasar Awam dan Kompleks Makanan Seberang Jaya yang bermula pada tahun 2019 merupakan antara inisiatif strategik Kerajaan Negeri dalam memperkasa kemudahan awam di negeri ini.

Menurut beliau, pasar awam berkaitan bukan sahaja berfungsi sebagai pusat urus niaga, malah menjadi nadi ekonomi setempat, pemangkin keusahawanan rakyat serta medium interaksi sosial yang mengukuhkan hubungan komuniti.

“Projek ini dilaksanakan bagi menggantikan pasar lama yang telah beroperasi lebih 30 tahun dan tidak lagi memenuhi keperluan semasa.

“Sepanjang tempoh pembinaan, para peniaga ditempatkan di tapak sementara di Lebuh Tenggiri 2 bagi memastikan kelangsungan sumber pendapatan mereka tidak terjejas.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), pihak kontraktor serta para peniaga atas kesabaran, komitmen dan kerjasama yang ditunjukkan sepanjang proses peralihan tersebut,” katanya ketika merasmikan Pasar Awam dan Kompleks Makanan Seberang Jaya dekat sini sebentar tadi.

image 58
image 60

Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye; Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid; barisan Ahli Majlis bagi MBSP; Setiausaha Bandaraya MBSP, Mohd. Ibrahim Md. Nor dan wakil-wakil penjaja Pasar Awam dan Kompleks Makanan Seberang Jaya.

Kon Yeow menyatakan bahawa pasar awam dan kompleks makanan baharu itu kini dilengkapi dengan 253 unit gerai yang merangkumi perniagaan barangan basah dan kering, sekali gus mencerminkan perancangan lebih sistematik, teratur dan berdaya saing.

“Sambutan peniaga terhadap kemudahan ini amat menggalakkan, dengan sebahagian besar gerai telah mula beroperasi sejak 1 April 2025.

“Projek ini melibatkan kos pembinaan sekitar RM20 juta dan telah siap sepenuhnya pada tahun 2024, sekali gus membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri bersama MBSP dalam melabur bagi memperkukuh infrastruktur ekonomi rakyat.

“Pelaburan ini bukan sahaja menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih selesa, bersih dan selamat, malah turut menyumbang kepada peningkatan imej bandar serta kualiti hidup masyarakat setempat.

“Pasar ini turut menyediakan ruang perniagaan untuk penjaja tidak berlesen supaya mereka boleh berniaga di tempat yang selesa dan bebas daripada tindakan undang-undang,” ujarnya.

image 62

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan memberitahu bahawa projek menaik taraf pasar tersebut juga mengambil kira unjuran pertambahan penduduk pada masa hadapan, khususnya dengan pembangunan pesat kawasan Seberang Jaya yang bakal dipacu oleh projek-projek berskala besar.

“Penyediaan fasiliti pasar yang lebih moden dan teratur ini dilihat bersifat strategik dalam menyokong keperluan harian penduduk baharu secara mampan.

“Kerajaan Negeri berharap agar para peniaga memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan dengan mengamalkan etika perniagaan berintegriti, menjaga kebersihan premis serta mematuhi peraturan ditetapkan.

“Kerjasama erat antara peniaga, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan masyarakat setempat amat penting bagi memastikan pasar awam ini kekal relevan dan menjadi pilihan utama rakyat,” katanya.

Beliau dalam itu juga berharap agar kemudahan baharu yang disediakan untuk peniaga dan komuniti setempat itu dapat dijaga dengan baik melalui kerjasama semua peniaga.

“Diharapkan peniaga dapat memperkenalkan pelaksanaan pelbagai inisiatif yang bertujuan membentuk perubahan tabiat pengunjung ke pasar ini ke arah pemikiran dan amalan lebih mesra alam.

“Sebagai contoh, peniaga boleh menggalakkan atau mengurangkan penggunaan plastik sekali guna serta pengurusan sisa secara lebih berhemah, termasuk sisa makanan dan sisa minyak.

“Usaha-usaha ini penting bagi memastikan pasar ini berkembang sebagai sebuah ekosistem yang lestari, mesra alam dan mesra rakyat.

“Mudah-mudahan pasar ini dapat berkembang secara mampan serta menjadi pemangkin kepada peningkatan pendapatan para peniaga di sini, sekali gus memberikan manfaat jangka panjang kepada semua lapisan masyarakat,” ulasnya lanjut.

Sementara itu, Baderul Amin berkata bahawa pembinaan semula Pasar Awam dan Kompleks Makanan Seberang Jaya bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada peniaga dan pengguna,
malah berperanan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi tempatan serta
pengukuhan komuniti setempat.

“Penambahbaikan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri bersama-sama dengan MBSP dalam menyediakan dan memperkasa kemudahan awam yang berkualiti, berfungsi serta berdaya saing.

“Malah, usaha ini juga selaras dengan aspirasi pembangunan mampan negeri Pulau Pinang ke arah mewujudkan persekitaran bandar yang inklusif, berdaya huni dan berorientasikan keperluan rakyat,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT
Video : ALISSALA THIAN

Sumber : Buletin Mutiara

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments