Sunday, April 19, 2026
UtamaBeritaMasjid Jamek Tuan Samad sebagai pusat ilmu dinamik

Masjid Jamek Tuan Samad sebagai pusat ilmu dinamik

SUNGAI DUA, 5 Februari – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berharap landskap aktiviti umat Islam tempatan dapat berubah ke arah yang lebih progresif dengan terbinanya dewan serba guna Masjid Jamek Tuan Samad yang menelan belanja kira-kira RM1.2 juta di sini.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Pembinaan Baharu Dewan Serbaguna Masjid Jamek Tuan Samad di sini pada 5 Februari 2026.

“Peranan tuan-tuan (Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Tuan Samad) bukan sekadar menjaga kunci dewan, tetapi sebagai pemacu kebaikan dan kebangkitan ummah.

“Gunakanlah prasarana ini untuk merangka program yang mampu mengangkat martabat masyarakat setempat.

“Dewan serba guna ini harus dilihat melangkaui sekadar tempat kenduri; sebaliknya mesti dijadikan pusat ilmu yang dinamik, kelas bimbingan akademik, seminar kemahiran digital serta pengajian kitab dan kontemporari,” jelasnya yang juga merupakan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP), Dato’ Marzuki Hassan, memuji kontraktor yang dilantik kerana berjaya menyiapkan dewan serba guna tersebut lebih awal daripada tempoh sasaran, iaitu pada 23 Februari ini.

Menurutnya, usaha membina dewan serba guna tersebut tidak akan berjaya tanpa kerjasama pelbagai pihak pada peringkat negeri dan Persekutuan seperti Unit Pembangunan JHEAIPP dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), selain sumbangan orang ramai berjumlah kira-kira RM400,000.

Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sahibus Samahah Profesor Madya Dato’ Dr. Mohd. Sukki Othman, serta Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Jamek Tuan Samad, Zakaria Md. Zain, turut hadir memeriahkan majlis ringkas tersebut.

Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB

Sumber : Buletin Mutiara

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments