Saturday, April 18, 2026
UtamaBeritaStatus Pulau Pinang sebagai sebuah negeri kekal terjamin

Status Pulau Pinang sebagai sebuah negeri kekal terjamin

UMUM telahpun maklum mengenai isu yang melibatkan negeri Kedah dan Pulau Pinang. Isu ini telah membangkitkan pelbagai persoalan, khususnya berkaitan sejarah Malaysia dan aspek perundangan. Ia juga mengundang pandangan daripada ahli sejarah serta pakar perundangan, menandakan betapa pentingnya isu ini dikaji secara menyeluruh.

Baru-baru ini, isu tersebut turut dibangkitkan dalam kalangan ahli Parlimen dan telah dijawab sendiri oleh Perdana Menteri. Kita sebenarnya sudah mula belajar mengenai sejarah Kedah dan Pulau Pinang sejak di bangku sekolah lagi. Pada asalnya, Pulau Pinang memang berada di bawah kerajaan Kedah, namun kedatangan penjajah Inggeris pada penghujung abad ke-18 telah mengubah kedudukan sejarahnya.

Perdebatan hangat wujud dalam kalangan akademik, menuntut penilaian semula sejarah dan status pemilikan sebenar Pulau Pinang. Namun, perbincangan ini hanyalah setakat ilmiah dan akademik, bukan untuk menggugat kedudukan semasa negeri.

Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa Pulau Pinang dan Kedah adalah sebahagian daripada Malaysia. Justeru, kedudukan dan kewujudan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri perlu dihormati oleh semua pihak. Mempertikaikan status ini bermakna bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Mengubah kedudukan atau sempadan negeri bukan perkara mudah kerana memerlukan persetujuan pelbagai pihak, termasuk kerajaan negeri yang terlibat.

Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa “Parlimen boleh melalui undang-undang (a) menerima masuk negeri-negeri lain ke dalam Persekutuan; (b) mengubah sempadan mana-mana negeri tetapi undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan negeri itu (yang dinyatakan melalui undang-undang Badan Perundangan Negeri) dan Majlis Raja-Raja”.

Cadangan untuk meminda Perlembagaan bagi mengubah kedudukan atau kewujudan sesebuah negeri dilihat sukar dilaksanakan dan tidak realistik berdasarkan sejarah perjalanan negara.

Fokus yang lebih wajar diberikan kini ialah pembangunan semula ekonomi negara dan usaha mengatasi kos sara hidup rakyat. Sejajar dengan moto dalam jata negara, “Bersekutu Bertambah Mutu”, setiap negeri di Malaysia perlu mengekalkan semangat persekutuan yang telah terbina sekian lama demi menghadapi segala cabaran. Kesepakatan ini bukan sahaja menjaga kestabilan politik tetapi juga memastikan kesejahteraan rakyat dapat dijamin untuk generasi masa hadapan.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

Fakulti Syariah & Undang–Undang (FSU),

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Sumber:Utusan

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments