AIR ITAM – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melalui Jabatan Perkhidmatan Perbandaran (JPP) terus memperkukuh usaha ke arah pengurusan sisa mampan dengan melancAhli Majlis MBPP, Rohaizat Hamid berkata, inisiatif tersebut bertujuan mengurangkan beban tapak pelupusan sampah serta memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengasingan sisa di punca.
“Pulau Pinang menjana kira-kira 1,300 tan sisa pepejal setiap hari, namun hanya sekitar 500 tan berjaya diasingkan. Sisa tekstil pula, yang merangkumi kira-kira dua peratus daripada keseluruhan komposisi sisa, menyumbang beribu-ribu tan ke tapak pelupusan setiap tahun.
“Walaupun peratusannya kelihatan kecil, sisa tekstil memberi impak besar terhadap kos pengurusan dan alam sekitar. Pengurangannya mampu menjimatkan kos pelupusan serta mengurangkan pencemaran,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang dan Pengarah JPP MBPP, Rashidah Jalaludin.arkan inisiatif pengumpulan sisa tekstil di Taman Kejiranan Desa Mawar menerusi kerjasama strategik bersama Life Line Coaching Malaysia (LLCM).

Mengulas pencapaian semasa, Rohaizat memaklumkan sebanyak 67.6 tan sisa tekstil berjaya dikumpulkan di bahagian pulau, sekali gus meletakkan kawasan itu dalam lima teratas kutipan sisa tekstil.
“Taman Kejiranan Desa Mawar sahaja mencatatkan kutipan sebanyak 1.25 tan dalam tempoh lima bulan, sekali gus tersenarai dalam lima kawasan teratas bagi kutipan sisa tekstil.
“Bagi menyokong pelaksanaan inisiatif ini, MBPP telah menempatkan tong pengurusan sisa tekstil berwarna merah jambu di 31 lokasi melibatkan keseluruhan 45 tong.
“Jumlah ini dijangka akan ditambah dari semasa ke semasa bergantung kepada permintaan orang awam serta penglibatan sektor swasta,” katanya.
Menurut Rohaizat, inisiatif tersebut bukan sekadar bertujuan mengumpul sisa, malah berfungsi sebagai platform pendidikan kepada masyarakat untuk mengamalkan pengasingan sisa di punca serta memperkukuh kerjasama antara pihak berkuasa tempatan, badan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan komuniti setempat.
“Berdasarkan rekod kutipan sisa tekstil, lima kawasan mencatat prestasi tertinggi ialah Relau, Teluk Bahang, Tanjung Bungah, Batu Lancang dan Taman Kejiranan Desa Mawar.
“Pencapaian ini membuktikan tahap kesedaran dan komitmen komuniti setempat dalam menyokong inisiatif pengurusan sisa mampan yang digerakkan oleh MBPP,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa dasar pengasingan sisa telah dilaksanakan bermula 1 Julai hingga 31 Disember 2024 sebagai fasa pendidikan, manakala penguatkuasaan penuh bermula 1 Januari 2025. Kegagalan mengasingkan sisa boleh dikenakan kompaun sehingga RM500.


Sementara itu, Soon Siang berkata, sisa tekstil bukan bahan buangan biasa dan memerlukan pendekatan khusus bagi memastikan ia dapat dikitar semula secara mampan.
“Sisa tekstil sukar dilupuskan sekiranya tidak diurus dengan betul. Oleh itu, tong khas disediakan di beberapa lokasi berprestasi tinggi bagi memastikan tekstil yang dikumpulkan dapat diproses oleh pihak majlis dan kontraktor.
“Sebagai contoh, program Take a Bag yang dilaksanakan di Sunshine Central membuktikan perubahan tingkah laku masyarakat apabila inisiatif yang pada awalnya menerima sambutan sederhana kini berjaya membudayakan amalan guna semula.
“Untuk makluman, kira-kira 90 peratus sisa yang dikutip setiap hari sebenarnya berpotensi untuk dikitar semula sekiranya pengasingan dilakukan dengan betul. Kejayaan ini menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri contoh dalam amalan 3R, namun ia memerlukan kerjasama semua pihak,” ujarnya.

Rashidah pula menegaskan bahawa pengasingan sisa perlu dijadikan budaya harian dan bukan sekadar tanggungjawab pihak berkuasa tempatan semata-mata.
“Penempatan tong kitar semula dibuat hasil perbincangan bersama MPKK, wakil rakyat kawasan dan komuniti setempat bagi memastikan penerimaan penduduk.
“Sisa tekstil yang dikumpulkan akan melalui lebih lima peringkat pemprosesan, antaranya penggunaan semula, jualan semula pada harga rendah untuk golongan berpendapatan rendah, kerjasama dengan pelajar institusi pengajian tinggi dalam rekaan fesyen, serta digunakan sebagai kain cucian dan bahan lain,” jelasnya.
Tambah Rashidah, penyumbang tidak menerima bayaran tunai, sebaliknya ganjaran diberikan dalam bentuk baucar atau kupon hasil kerjasama dengan syarikat fesyen dan peruncitan.
Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: ALISSALA THIAN
Sumber:Buletin mutiara

