Thursday, December 4, 2025
UtamaBerita7 masjid Pulau Pinang digazetkan sebagai bangunan warisan

7 masjid Pulau Pinang digazetkan sebagai bangunan warisan

GEORGETOWN, 18 November 2025 : Tujuh masjid bersejarah di Pulau Pinang digazetkan sebagai bangunan warisan dengan menerima peruntukan berjumlah lebih RM1.17 juta bagi tujuan penyelenggaraan serta pemuliharaan struktur.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, berkata masjid terbabit ialah Masjid Kapitan Keling yang memperoleh peruntukan sebanyak RM400,000.

Selain itu, katanya, Masjid Melayu Lebuh Acheh (RM404,343.20), Masjid Alimsah Waley (RM142,000), Masjid Jamek Benggali (RM182,100), Masjid Jamek Perangin (RM17,700) dan Masjid Titi Papan (RM27,150), manakala Masjid Pintal Tali belum mengemukakan permohonan lengkap.

image 105
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid. – Foto fail NSTP

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) telah melaksanakan Talian Sokongan Pemilik Bangunan Warisan Kategori I dan II dalam kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town bagi membantu pemilik bangunan, termasuk masjid warisan, menjalankan kerja-kerja baik pulih.

“Pelan penyelenggaraan adalah untuk memastikan masjid berkenaan mengekalkan nilai sejarah, elemen seni bina, warisan budaya serta perlindungan berterusan agar ia berada dalam keadaan baik dan selamat.

“Kaedah penyelenggaraan perlu merujuk kepada Garis Panduan Pemuliharaan Bangunan dan Tapak dalam Rancangan Kawasan Khas Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Mohd Yusni Mat Piah (PN-Penaga) mengenai peruntukan bagi penyelenggaraan dan pemuliharaan masjid, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Mohamad turut memaklumkan masjid terbabit dibina antara 1801 hingga 1890 dan merupakan aset penting yang mencerminkan sejarah perkembangan komuniti Islam di Pulau Pinang.

Beliau berkata, kerajaan negeri komited memastikan bangunan warisan berkenaan terus dipelihara bagi generasi akan datang.

Sumber : Berita Harian

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments