Monday, March 9, 2026
UtamaBeritaProjek LRT Pulau Pinang diteruskan sepanjang Tahun Baharu Cina, Hari Raya

Projek LRT Pulau Pinang diteruskan sepanjang Tahun Baharu Cina, Hari Raya

GEORGETOWN,18 November 2025 : Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di Pulau Pinang bakal memasuki fasa pembinaan lebih rancak bermula Januari 2026 apabila tetap akan diteruskan sepanjang tempoh perayaan Tahun Baru Cina pada Februari dan Hari Raya Aidilfitri, Mac tahun depan.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari, berkata beliau dimaklumkan pihak pemaju bahawa kerja-kerja pembinaan di tapak terlibat tidak dapat ditangguhkan bagi memastikan projek berkenaan siap mengikut jadual pada Disember 2031.

“Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) yang dilantik Kerajaan Persekutuan sebagai pemaju dan pemilik aset Projek LRT Pulau Pinang pada April 2024 kerja-kerja pembinaan akan diteruskan seperti dirancang termasuk sepanjang tempoh perayaan.

“Kerja-kerja pembinaan tidak dapat ditangguhkan mengambil kira jadual pembinaan yang sangat padat dengan kelewatan mencapai sasaran penyiapan kerja akan mencetuskan klausa denda seperti termaktub dalam kontrak,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Zairil (DAP-Tanjung Bungah) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Lim Guan Eng (DAP-Air Putih) yang bertanya sama ada bolehkah kerja pembinaan LRT Laluan Mutiara yang dijadualkan Januari depan ditangguhkan selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Guan Eng turut bertanya berapa jangkaan kos projek dan tempat berlakunya kesesakan trafk dan berapa lama tempoh kerja terlibat susulan projek itu.

Mengulas lanjut, Zairil berkata kerajaan negeri dimaklumkan oleh pihak MRT Corp bahawa Jemaah Menteri pada Disember 2024 telah meluluskan siling bajet projek LRT Laluan Mutiara sebanyak RM16.8 bilion.

Katanya, kerja-kerja pembinaan projek LRT Laluan Mutiara sebenarnya bermula secara rasmi sejak Kontraktor Pakej Sivil Utama 1 (CMC1) iaitu SRS Consortium Sdn Bhd (SRS) telah menerima notis mula kerja 15 Julai lalu dengan kerja pembinaan CMC1 dijangka siap menjelang Disember 2031.

“Kontraktor CMC1 mengenal pasti tiga lokasi ‘hotspot’ yang akan lebih terjejas akibat pembinaan projek LRT ini, iaitu Jalan Magazine, persimpangan di hadapan Sunny Point di Batu Uban dan Jalan Sultan Azlan Shah di Kawasan Perindustrian Bebas Bayan Lepas.

“MRT Corp telah disyaratkan melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyediakan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) bagi setiap lokasi stesen bermula dari Georgetown hingga Permatang Damar Laut supaya langkah mitigasi dapat dianalisis dan dilaksanakan,” katanya.

Menurut Zairil, TMP terperinci yang disediakan MRT Corp diluluskan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada 14 Oktober lalu dan pelan itu sedang dilaksanakan secara berperingkat mengikut lokasi untuk menangani kesesakan lalu lintas yang tidak dapat dielakkan akibat aktiviti pembinaan di jalan-jalan terlibat.

Katanya, langkah-langkah mitigasi akan dilaksanakan pihak MRTC untuk meminimumkan impak terhadap trafik sedia ada, memastikan pergerakan kenderaan kekal lancar dan meningkatkan kecekapan aliran trafik di kawasan-kawasan utama sepanjang tempoh pembinaan LRT Laluan Mutiara.

“Pihak MRTC juga akan menyediakan laluan alternatif dan pengalihan trafik yang akan diurus sebagai sebahagian daripada TMP yang diluluskan serta TMP ini juga akan disemak semula dan ditambah baik secara bulanan bagi perancangan masa depan,” katanya.

Sumber : Berita Harian

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments