Wednesday, December 17, 2025
UtamaBeritaRM8.789 juta baiki 16 cerun berisiko demi keselamatan

RM8.789 juta baiki 16 cerun berisiko demi keselamatan


TANJUNG BUNGA – Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membelanjakan sebanyak RM8.789 juta daripada peruntukan Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan 16 cerun berisiko di kawasan pulau.

image 35

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, jumlah itu merupakan tambahan sebanyak RM4.921 juta berbanding tahun 2024 bagi Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang untuk melaksanakan kerja pembaikan cerun di lokasi-lokasi dikenal pasti mengalami kejadian runtuhan.

“Objektif utama projek ini adalah untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan cerun yang mengalami runtuhan atau kegagalan, sekali gus memastikan keselesaan serta keselamatan pengguna jalan raya terjamin.

“Komponen utama projek meliputi penyiasatan tanah, kerja awalan pembersihan tapak dan pembaikan runtuhan cerun mengikut kaedah yang dipersetujui oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun Ibu Pejabat JKR Malaysia,” katanya.

image 37

Beliau ditemui sejurus mengadakan lawatan tapak ke projek pembaikan cerun berdekatan Moon Light Bay, Jalan Batu Ferringhi di sini pada 7 Oktober 2025.

Mengulas lanjut, Zairil memberitahu bahawa kerja-kerja di tapak telah bermula pada Ogos 2025, dengan tujuh projek dijangka siap sepenuhnya tahun ini, manakala baki sembilan projek akan disiapkan pada tahun hadapan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, atas kelulusan peruntukan tersebut demi kesejahteraan pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.

Difahamkan, daripada 16 projek berkenaan, 15 terletak di daerah Timur Laut, manakala satu lagi di daerah Barat Daya, iaitu di laluan Jalan Teluk Bahang ke Balik Pulau.

Menurut Zairil lagi, daripada jumlah itu juga, 12 projek berada di sekitar kawasan Bukit Bendera, yang disifatkan sebagai kawasan kritikal kerana merupakan satu-satunya jalan keluar masuk utama bagi penduduk setempat.

“Kawasan tersebut amat penting memandangkan ia menjadi laluan utama penduduk untuk aktiviti harian.

“Selain itu, pengguna jalan raya juga dinasihatkan agar merancang perjalanan sebaiknya sepanjang tempoh kerja pembaikan dan mematuhi papan tanda keselamatan yang disediakan di lokasi berkaitan,” tambah beliau.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN

Sumber : Buletin Mutiara

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments