Wednesday, December 17, 2025
UtamaBeritaPelajar baharu USM bertemu, berinteraksi dengan Menteri KPT

Pelajar baharu USM bertemu, berinteraksi dengan Menteri KPT

PULAU PINANG – Lebih 3,000 pelajar baharu Universiti Sains Malaysia (USM) berpeluang bertemu dan berinteraksi secara langsung dengan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, menerusi sesi khas ‘In Person With Doc Zam’ yang diadakan di Kampus Induk USM di sini baru-baru ini.


Program yang julung kali diadakan itu diadakan bagi memperkukuh hubungan antara pelajar dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), di samping membuka ruang kepada mahasiswa untuk berkongsi pandangan, bertanya soalan serta mendapatkan inspirasi secara santai dan mesra dalam suasana penuh ilmu.


Dalam ucapan beliau, Dr. Zambry menekankan pelajar perlu membina keseimbangan antara pencapaian akademik bertaraf global dan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.


“Kita mahu graduan kita ‘menggapai langit’ dengan ilmu pengetahuan global, tetapi dalam masa yang sama perlu ‘mengakar ke bumi’ dengan memahami dan menyumbang Kembali kepada realiti masyarakat,” katanya.


Beliau turut menasihatkan pelajar supaya tidak gentar menghadapi cabaran dan menjadikan kegagalan sebagai batu loncatan menuju kejayaan.


“Orang yang paling berjaya dalam hidup ialah mereka yang belajar daripada kegagalan; jadikan setiap cabaran sebagai landasan untuk menjadi lebih baik lagi,” ujarnya.


Turut hadir ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman; yang menjalankan peranan sebagai Pengarah Lembaga Gabenor Universiti, Profesor Emeritus Datuk Dr. Hassan Said; Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; serta barisan Timbalan Naib Canselor dan pengurusan tertinggi USM.


Dr. Abdul Rahman berkata, penganjuran ‘In Person With Doc Zam’ merupakan peluang terbaik bagi pelajar untuk
mengenali pemimpin negara dengan lebih dekat serta membina keyakinan diri melalui perkongsian pengalaman secara langsung.
“Program ini memberi peluang kepada kita mendengar suara pelajar secara langsung dan memahami aspirasi generasi baharu. USM sentiasa menitikberatkan kesejahteraan mahasiswa kerana mereka adalah nadi universiti dan bakal pemimpin masa hadapan,” katanya.


Beliau menambah, pandangan dan suara pelajar merupakan sebahagian daripada ekosistem pendidikan inklusif yang diutamakan oleh universiti, sejajar dengan matlamat USM untuk melahirkan graduan holistik, berdaya saing dan berjiwa kepimpinan.


Program ini juga menjadi sebahagian daripada pengisian Minggu Siswa Lestari USM bagi Sidang Akademik 2025/2026 dan diserikan dengan penyerahan pelbagai sumbangan khas kepada pelajar yang memerlukan.


Antara sumbangan tersebut termasuk bantuan Yayasan Perkasa Siswa berjumlah RM1,000 setiap seorang kepada 15 pelajar kurang berkemampuan serta 50 komputer riba bernilai RM100,000 yang disediakan untuk pelajar kumpulan B40, pelajar kurang upaya (OKU) dan siswa sulung.


Dr. Abdul Rahman turut mengumumkan beberapa inisiatif sokongan tambahan bagi membantu pelajar menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus tanpa dibebani isu kewangan atau logistik.


Antara inisiatif tersebut ialah 600 Kit Bantuan Keperluan Asas Penginapan bernilai RM60,000 untuk pelajar B40,miskin tegar, OKU dan siswa sulung; Bantuan Awal Pengajian berjumlah RM200,000 kepada 400 pelajar B40, miskin tegar, OKU dan siswa sulung dan peruntukan khas RM2.8 juta bagi pengambilan siswa sulung Sidang Akademik 2025/2026, melibatkan 280 pelajar.


Selain itu, peruntukan pembangunan RM1.1 juta (Fasa 1) bagi menggantikan perabot lama di desasiswa dengan perabot baharu; perkhidmatan pengangkutan percuma termasuk van khas dan pick-up point di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Terminal Bas Sungai Nibong dan Jeti Pulau Pinang.


“Langkah proaktif ini membolehkan setiap pelajar baharu memulakan perjalanan akademik dengan keyakinan tanpa terbeban oleh kekangan kewangan atau logistik,” jelasnya.


Beliau berkata, segala usaha ini mencerminkan hasrat USM untuk terus mendokong aspirasi Malaysia Madani dalam memperkasa pendidikan tinggi yang inklusif, mampan dan berteraskan kesejahteraan pelajar. – MalaysiaGazette

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments