Friday, December 5, 2025
UtamaBeritaLACF 2025 angkat martabat seni warisan budaya

LACF 2025 angkat martabat seni warisan budaya

GEORGE TOWN – Festival Seni Hidup 2025 (LACF 2025) yang diadakan di Lebuh Armenian di sini, selama tiga hari dan ber­akhir malam kelmarin berjaya membuktikan usaha kerajaan dalam menyemarakkan seni ­warisan budaya negara khusus­nya kesenian yang hampir pupus.

Acara dwi tahunan anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Persatuan Pancha

Seniloka Kebangsaan (Pancha) itu menyasarkan kehadiran kira-kira 40,000 pengunjung tempatan dan luar negara.

Festival yang julung kali diadakan di George Town itu bertujuan untuk menghargai kedudukan­nya sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, selain kawasan Lebuh Armenian yang terkenal dengan aktiviti seni dan menjadi tum­puan pelancong.

Ketua Pengarah JKKN, Mohd. Amran Mohd. Haris berkata, festival kesenian itu telah mendapat sambutan memberangsang daripada penggiat-penggiat seni tempatan dan antarabangsa serta agensi kerajaan negeri dan swasta.

Menurutnya, LACF 2025 yang mengangkat tema ‘Kelangsu­ngan Budaya Warisan’ itu berjaya melibatkan penyertaan dari 10 buah negara termasuk Malaysia dengan menampilkan hampir 27 persembahan kesenian sepanjang pe­ng­anjurannya berlangsung.

“Festival kesenian menunjuk­kan usaha kerajaan dalam me­nye­marakkan aktiviti seni bu­­daya khususnya untuk kesenian-kesenian yang hampir pupus.

“Jadi, dalam menuju kemajuan, mengejar kemodenan, hal-hal yang berkaitan dengan elemen seni budaya sewajarnya dipertahankan untuk kelangsu­ngan hidup dan juga identiti sebuah negara.

“Kalau kita lihat penglibatan 10 buah negara yang hadir pada kali ini, ia menunjukkan usaha yang dibuat oleh pelbagai negara bagi memelihara kesenian dan juga aktiviti yang berkaitan dengan seni budaya ini memang akan terus dipertahankan sampai bila-bila,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran LACF 2025 yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib, kelmarin.

Selain Malaysia, negara lain yang terlibat adalah Indonesia, India, Bulgaria, Jepun, Korea Selatan, Filipina, Sri Lanka, Thailand dan Uzbekistan.

Kata Mohd. Amran, LACF 2025 merupakan wadah penting dalam diplomasi budaya, berpotensi merancakkan pelancongan.

Sumber : Kosmo!

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments