GEORGE TOWN, 17 September- Kerajaan Pulau Pinang mewartakan pindaan sempadan 10 bandar sedia ada serta mewujudkan 25 bandar baharu.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pindaan tersebut melibatkan lebih 210,000 hak milik tanah dan 184,000 hak milik strata yang akan diklasifikasikan semula mengikut status tanah baharu.
Jelas beliau, keputusan itu dibuat menerusi Warta Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertarikh 4 Sept 2025 selaras peruntukan Seksyen 11(ca) dan 11(d) Kanun Tanah Negara (Akta 828).
Inisiatif berkenaan sejajar kepesatan pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan seperti Bayan Baru, Seberang Jaya dan Bertam.
Ia bertujuan meningkatkan kecekapan pentadbiran dan mewujudkan sistem percukaian tanah yang lebih adil.
“Telah dua tahun kita buat kaji semula, didapati landskap Pulau Pinang sudah berubah begitu banyak. Dahulunya dikatakan desa, sekarang sudah jadi bandar yang menikmati pembangunan yang rancak.
Dengan klasifikasi semula kawasan ini, maka ada perubahan kadar cukai tanah dan cukai petak,” katanya dalam sidang media di Komtar hari ini.
Chow memaklumkan, selepas pewartaan itu, secara keseluruhannya Pulau Pinang mempunyai 42 bandar meliputi 10 bandar diperluas sempadan, 25 bandar baharu manakala tujuh bandar dikekalkan sempadan.
Antara bandar yang diperluas ialah Bayan Lepas, Balik Pulau dan Bukit Mertajam, manakala bandar baharu yang diwujudkan termasuk Bayan Baru, Bukit Jambul, Alma dan Seberang Jaya.
Kali terakhir pewartaan bandar sedia ada dilakukan adalah pada 1966.
Sumber : Berita RTM

