Tuesday, February 10, 2026
UtamaBeritaNostalgia 1963: Akhbar Lama Jadi Tumpuan Pengunjung Sambutan Hari Malaysia

Nostalgia 1963: Akhbar Lama Jadi Tumpuan Pengunjung Sambutan Hari Malaysia

BUTTERWORTH, 17 Sep – Koleksi akhbar The Straits Times dan The Straits Echo and The Times of Malaya cetakan 1963 menjadi antara tarikan utama pengunjung sambutan Hari Malaysia 2025 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen PICCA@Butterworth Arena, di sini, malam tadi.

Akhbar The Straits Times yang diterbitkan di Singapura dan The Straits Echo and The Times of Malaya yang diterbitkan di Pulau Pinang dipamerkan dalam empat jilid di reruai Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) mencuri tumpuan pengunjung dalam dan luar negara.

Pustakawan PPAPP Azizah Zainon berkata akhbar berusia 62 tahun itu merupakan bahan nadir yang sangat penting dan berharga dalam Koleksi Pulau Pinang yang disimpan di bilik khas perpustakaan.

Bilik Koleksi Bahan Nadir tersebut tidak boleh diakses oleh orang awam dan sentiasa dipantau suhunya bagi mengekalkan kondisi asal serta dijaga kakitangan terlatih.

Orang awam katanya hanya diberi akses kepada koleksi digital.

image 71
Chu Xin Zhen (kanan) berkata bahan sejarah ini sangat penting untuk rakyat terutama generasi muda memahami penubuhan Malaysia terutama penggabungan Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

“Untuk Sambutan Hari Malaysia, julung kalinya akhbar ini dijilid dan dipamerkan secara langsung untuk tontonan awam agar mereka lebih menghargai sejarah pembentukan Malaysia,” katanya kepada pemberita.

Warga Seberang Perai, Chu Xin Zhen, 35, berkata pameran tersebut sangat unik dan penuh makna yang menghidupkan semula jiwa Malaysia.

“Bahan Sejarah ini sangat penting untuk rakyat terutama generasi muda memahami penubuhan Malaysia terutama mengenai penggabungan Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak,” katanya.

image 69
Rodney Schubert (dua dari kanan) berkata sejarah Malaysia amat menarik kerana turut mempunyai pertalian sejarahnya sendiri dengan Australia.

Manakala pelancong warga Australia, Rodney Schubert, 69, yang pertama kali ke Pulau Pinang bersama isteri dan anaknya berkata pameran berkenaan menarik perhatiannya kerana Australia juga mempunyai sejarah tersendiri dengan Malaysia.

“Budaya di Malaysia amat mengagumkan. Keunikan pelbagai latar budaya yang bersatu sebagai satu identiti mencerminkan keharmonian masyarakat, sesuatu yang turut kami rasai di Australia,” katanya.

Pameran Menelusuri Zaman itu turut mempamerkan peta lukisan tangan George Town pada tahun 1820, pameran digital sejarah pembentukan Malaysia, pameran artifak dan replika bersejarah, pameran pakaian tradisional serta pameran kuih dan makanan tradisional yang boleh dinikmati oleh pengunjung.

-RI

Sumber : Malaysia Aktif

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments