SEBERANG JAYA, 9 Sep (MalaysiaAktif) – Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) Komuniti MADANI sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia adalah signifikan dalam menyemarakkan semangat patriotisme.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata program sedemikian merupakan antara platform menyuburkan nilai perpaduan dan menanam rasa cainta kepada negara.
“Pada masa sama ia juga mampu memperkukuh semangat silaturahim dalam kalangan rakyat,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di sebuah psar raya, di sini kelmarin.
Terdahulu, pengunjung mula membanjiri lokasi pada pukul 2 petang bagi menyertai pelbagai aktiviti menarik termasuk pertandingan mewarna, pakaian beragam serta pertandingan e-sukan.
Turut diadakan pameran oleh agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Lembaga Zakat Pulau Pinang serta sesi perkongsian maklumat daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Program turut diselitkan dengan taklimat khas oleh Pegawai Penerangan Daerah Seberang Perai Tengah yang memberi pendedahan mengenai peranan kerajaan dalam memperkukuh perpaduan rakyat.
Suasana meriah dengan aktiviti zumba serta ketibaan peserta Larian I Love Malaysia, menjelang kemuncak acara.
Turut hadir Pegawai Penyelaras Kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya Fayyadh Afiq Albakqry, Penolong Pengarah Cawangan Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Jabatan Penerangan Pulau Pinang Izzudin Barahim serta Pengerusi Komuniti MADANI Bandar Seberang Jaya Datuk Steven Cheong Chuan Kwee.
-RI
Sumber : Malaysia Aktif

