Kerajaan Negeri mahu sektor pelancongan Pulau Pinang memberi tumpuan bukan sekadar kepada jumlah ketibaan pelancong, tetapi nilai ekonomi yang dijana oleh setiap pengunjung.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, aspek seperti tempoh penginapan, pengalaman pelancong dan perbelanjaan mereka perlu diberi perhatian bagi memastikan manfaat sektor pelancongan dapat dinikmati secara lebih meluas.
Menurut Kon Yeow, perbelanjaan pelancong perlu memberi impak kepada keseluruhan ekosistem termasuk hotel, restoran, lokasi tarikan, peruncitan, pengangkutan, pemandu pelancong, penggiat budaya serta perniagaan kecil.
Beliau turut menggesa kerjasama lebih erat dalam kalangan pemain industri bagi meningkatkan pengalaman pelancong, selain memperkukuh sektor mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) untuk menarik lebih banyak acara perniagaan bernilai tinggi ke Pulau Pinang.
Kon Yeow berkata, Pulau Pinang juga berada pada kedudukan strategik untuk menjadi pintu masuk antarabangsa ke wilayah utara, dengan kerjasama negeri-negeri jiran dalam mempromosikan produk warisan, gastronomi dan pelancongan berasaskan alam semula jadi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-69 Persatuan Pengusaha Hotel Pulau Pinang (PHA), sambil menyeru industri memanfaatkan kempen Tahun Melawat Malaysia untuk terus meningkatkan daya saing Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.

