KUALA LUMPUR: Projek rintis penempatan beberapa warden dalam kalangan bekas anggota tentera yang sedang dimulakan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau, Pulau Pinang dan Besut, Terengganu ketika ini menunjukkan perkembangan positif.
Bagaimanapun Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, berkata masih terlalu awal untuk diulas berikutan belum selesai tempoh enam bulan yang ditetapkan mengenai projek rintis yang bertujuan menangani isu buli di sekolah berasrama.
“Inisiatif menggunakan khidmat warden daripada bekas tentera itu menunjukkan perkembangan positif termasuk maklum balas daripada kalangan ibu bapa.
“Namun masih terlalu pramatang untuk saya membuat ulasan kerana ia baru saja bermula, jadi biar cukup ‘iddah’ (tempoh kajian daripada Institut Kajian Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM)) enam bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas pelaksanaan projek rintis penempatan warden seperti dikongsi di Facebooknya pada 21 Ogos lalu.
Asyraf Wajdi berkata, hasil dapatan kajian itu akan dikongsikan untuk menilai keberkesanan terhadap pendekatan rintis.
“Sepanjang enam bulan ini, penyelidik UPM akan membuat kajian sejauh mana keberkesanan pendekatan yang kita laksanakan ini dan apakah perkara perlu ditambah baik,” katanya.
Beliau sebelum ini dilaporkan berkata, sekiranya hasilnya positif, MARA bakal mempertimbangkan perluasan skop kepada 57 MRSM di seluruh negara.
Katanya, inisiatif mengambil warden sepenuh masa dalam kalangan pesara anggota beruniform yang sudah melalui tapisan ketat dan berpandukan garis panduan jelas mengenai skop kerja mereka adalah satu pendekatan yang MARA cuba laksanakan dengan teliti.
Sumber : Buletin TV3

