GEORGETOWN: Penutup rim kereta, alat ganti kenderaan, besi dan kayu tajam antara 4.04 tan sisa yang dikutip Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) ketika kerja pembersihan di pembahagi jalan sebahagian Lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini.
Kerja pembersihan berkala yang dijalankan pada Sabtu dan Ahad lalu itu membabitkan pasukan ‘Wira Baju Kuning’ Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBPP.
MBPP berkata, sebanyak 2.13 tan sisa dikumpul pada Sabtu manakala 1.91 lagi pada Ahad, masing-masing dalam tempoh lima jam.
“Keseluruhannya, sebanyak 4.04 tan sisa dipungut MBPP sepanjang dua hari operasi pembersihan itu dijalankan.
“Antara jenis sisa yang dipungut ialah sampah yang dibuang dari kenderaan, debris kenderaan terbabit kemalangan, daun kering serta rumput rumpai yang berada di pembahagi jalan, laluan kiri dan kanan,” menurut kenyataan itu di Facebook, semalam.
Sehubungan itu, MBPP menggesa pengguna jalan raya supaya tidak membuang sampah dari kenderaan kerana boleh menjadi punca kemalangan kepada pemandu kenderaan lain.
Sumber : Berita Harian Online

