Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang sedia bertemu dengan penggiat industri vape sebelum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan larangan penjualan produk vape di negeri itu.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri sudah menerima sepucuk surat daripada pihak industri vape mengenai perkara itu.
“Mereka mahu kami mendengar pandangan mereka dan kami bersedia untuk berbuat demikian.
“Saya sudah meminta ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) berkaitan untuk mengadakan pertemuan dengan mereka,” katanya kepada media hari ini, sambil memaklumkan beliau menerima surat itu baru-baru ini.
Chow ditemui selepas menghadiri program Hari Penemuan Kerjaya Pulau Pinang 2025 di sini petang tadi.
Bulan lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Daniel Gooi, memaklumkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri bahawa Pulau Pinang mungkin mempertimbangkan larangan menyeluruh ke atas penjualan produk vape mulai tahun hadapan sekiranya penguatkuasaan di bawah undang-undang kawalan merokok yang baharu dilihat tidak berkesan.
Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), yang berkuat kuasa pada 1 Oktober tahun lalu, bertujuan memperketat peraturan terhadap penjualan, pengiklanan dan promosi semua produk merokok — termasuk rokok elektronik dan vape — di seluruh negara.
Akta itu secara khusus menyasarkan individu di bawah umur 18 tahun, dan melarang mereka daripada menjual, membeli atau menggunakan sebarang produk merokok melalui apa jua cara.
Mengulas lanjut, Chow berkata, Pulau Pinang bukan satu-satunya negeri yang sedang mempertimbangkan larangan menyeluruh terhadap penjualan produk vape, bahkan beberapa negeri lain turut meneliti pendekatan yang sama.
“Sudah tentu kita sedar akan kesan penggunaan vape secara tidak bertanggungjawab terhadap kesihatan.
“Namun, ada juga isu-isu lain yang perlu diteliti. Melaksanakan larangan boleh membawa pelbagai implikasi. Ia tidak semestinya akan mengatasi gejala sosial dalam bentuk penjualan vape secara haram.
“Justeru, kita perlu mengkaji isu ini dengan teliti sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.
Sumber : Harian Metro

