Georgetown: Guna teknologi pintar dikenali sebagai ‘Track and Trace’ ( jejak dan kesan ) bagi menentukan keaslian durian Pulau Pinang bermula Jun ini.
EXCO Agroteknologi, Sekuriti Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol, berkata teknologi itu dibangunkan hasil kerjasama strategik membabitkan agensi pelaksana dan MIMOS Sdn Bhd susulan aduan diterima pengusaha berhubung penipuan dan eksploitasi durian oleh pihak tidak bertanggungjawab
“Penggunaan teknologi berkenaan diyakini dapat menyelesaikan masalah itu selain meningkatkan kecekapan operasi, memastikan pematuhan terhadap peraturan sekali gus mengukuhkan kepercayaan pengguna terhadap produk durian Pulau Pinang.
“Pelaksanaan teknologi ‘Track and Trace’ ini diharap dapat menjadi penyelesaian kepada masalah pengusaha durian selari usaha kerajaan negeri untuk memperkukuh industri durian tempatan,” katanya.
Fahmi menjelaskan, teknologi ‘Track and Trace’ adalah platform pintar yang membolehkan setiap peringkat proses pengeluaran durian direkod dan dipantau bagi menjamin ketulenan serta kualiti raja buah itu.
“Satu kod bar akan dimiliki oleh setiap pemilik ladang. Mereka akan mendapat sijil yang akan diiktiraf oleh semua agensi kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.
“Pelanggan boleh mengimbas kod bar pada ‘tag’ yang diletak pada tangkai durian untuk mengetahui sama ada ia adalah durian Pulau Pinang atau tidak,” katanya.
Fahmi berkata, beliau difahamkan Pulau Pinang menjadi negeri pertama di Malaysia menggunakan teknologi itu yang sebelum ini dilaksanakan di Thailand.
“Ada durian dari Thailand juga dijual tepi jalan dan apabila ada penduduk luar negeri atau luar negara datang, mereka cakap ia durian Pulau Pinang sedangkan ia durian Thailand,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri turut optimis menjalin kerjasama dengan beberapa pihak termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pejabat Exco Pelancongan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk menjadikan industri durian di Pulau Pinang lebih mampan serta berdaya saing.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, pasaran eksport durian dari Pulau Pinang dijangka mencatatkan peningkatan tahun ini berbanding tahun lalu berikutan permintaan tinggi dari negara pengimport utama seperti China dan Singapura.
Menurutnya, antara varieti atau klon durian paling popular bagi tujuan eksport ialah Musang King (D197) dan duri hitam (D200) dengan varieti baharu telah didaftarkan di Pulau Pinang iaitu Kim Long (D230) dan Cenderawasih (D229) yang masing-masing didaftarkan pada tahun 2023 turut menerima sambutan menggalakkan.
“Jumlah eskport pada tahun lalu adalah 67,203 kilogram (kg) dan jumlah ini menurun berbanding 67,670 kg yang direkodkan pada 2023 dengan menyaksikan China yang tertinggi iaitu 38,800 kg (bagi 2023).
“Musim durian tahun ini masih mengikut kalendar tanaman iaitu sekitar pertengahan Jun hingga Julai dan berperingkat sehingga luar musim pada Disember dan Januari.
“Selain itu, ramai usahawan durian dari Pulau Pinang juga memiliki dan mengusahakan kebun durian di luar negeri ini seperti di Perak dan Kedah,” jelasnya.
Sumber : Harian Metro

