Tuesday, February 10, 2026
UtamaBeritaKerajaan negeri tak tanggung kos projek kereta kabel – PBBPP

Kerajaan negeri tak tanggung kos projek kereta kabel – PBBPP

GEORGE TOWN – Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) menafikan dakwaan kerajaan negeri menanggung kos bagi pelaksanaan projek Kereta Kabel Bukit Bendera seperti yang didakwa Setiausaha Parti Gerakan Pulau Pinang.

Sebaliknya, PBBPP menegaskan, projek yang bernilai RM245 juta itu dibiayai sepenuhnya oleh syarikat konsesi, Hartasuma Sdn. Bhd., melalui kaedah Perkongsian Awam-Swasta (PPP) berkonsepkan Reka Bentuk, Kewangan, Bina, Kendali dan Pemindahan (DFBOT).

“Ini adalah model Inisiatif Kewangan Swasta yang membolehkan projek dilaksanakan tanpa membebankan kerajaan negeri. Pada akhir tempoh konsesi 30 tahun, perkhidmatan kereta kabel ini akan dipindahkan kepada kerajaan negeri.

“Kos yang dianggarkan ketika proses permintaan cadangan (RFP) pada 2021 dibuat dalam situasi ekonomi mencabar akibat pandemik COVID-19, selain peningkatan harga bahan, kos buruh dan pelarasan reka bentuk jajaran.

“Namun, Hartasuma tetap komited melaksanakan projek dengan kerjasama syarikat Austria, Doppelmayr Seilbahnen GmbH, peneraju global dalam sistem ropeway bagi memastikan kualiti perkhidmatan bertaraf antarabangsa,” katanya dalam kenyataaan hari ini.

PBBPP turut menekankan bahawa projek ini dijangka menjadi pemangkin pelancongan negeri dan mampu menjana impak sosio-ekonomi kepada penduduk setempat, khususnya dalam sektor perniagaan dan perkhidmatan berkaitan pelancongan.

Antara komponen utama projek termasuk pembinaan Garden Station berhampiran Taman Botani, Turn Station, Hill Station di puncak Bukit Bendera serta kemudahan tempat letak kereta bertingkat dan plaza komersial untuk kemudahan pengunjung.

“Selain mengimbangi jumlah pelawat semasa musim puncak, ia juga mampu mengurangkan kesesakan di kawasan Taman Botani serta menyumbang kepada peningkatan kualiti landskap dan ruang hijau,” katanya.

PBBPP menyifatkan projek ini sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan mampan yang selaras dengan status Bukit Bendera sebagai Rizab Biosfera UNESCO dan akan terus dilaksanakan dengan keutamaan terhadap kelestarian alam sekitar.

Sumber : MalaysiaGazette

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments