Pulau Pinang terus menunjukkan komitmen tinggi dalam memperkasa pendidikan Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) menerusi pengumuman penting sempena Perhimpunan Guru KAFA Pulau Pinang pada 16 Mei 2025 oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, YB Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid.
ADUN Batu Maung itu telah mengumumkan beberapa inisiatif besar yang memberi manfaat langsung kepada guru-guru KAFA dan institusi KAFA negeri.
Antara inisiatif utama yang diumumkan ialah:
1. Peningkatan Elaun Guru KAFA
Elaun bulanan guru KAFA akan dinaikkan sebanyak RM200 – daripada RM1,300 kepada RM1,500, berkuat kuasa Julai 2025.
2. Kenaikan Elaun Guru Besar KAFA
Guru Besar KAFA pula akan menerima kenaikan elaun sebanyak RM250, menjadikan elaun baru sebanyak RM1,600 bermula Julai 2025, berbanding RM1,350 sebelum ini.
3. Sumbangan Cuti Bersalin
Guru KAFA wanita yang bercuti bersalin akan menerima sumbangan sebanyak RM1,100 selama dua bulan, bermula Jun 2025.
Inisiatif ini dibiayai melalui peruntukan tahunan sebanyak RM176,000 oleh MAINPP (Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang).
4. Tempoh Operasi Premis KAFA
Tempoh operasi premis KAFA akan ditambah daripada 3 hari kepada 5 hari seminggu, berkuat kuasa Julai 2025.
5. Latihan dan Peningkatan Profesionalisme
Sebanyak RM150,000 diperuntukkan oleh MAINPP bagi tujuan latihan peningkatan profesionalisme guru-guru KAFA.
6. Keseluruh Peruntukan Tambahan RM 8.5 juta
Kerajaan Negeri memperuntukkan tambahan sebanyak RM4.2 juta untuk membiayai semua insentif ini, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan untuk KAFA di Pulau Pinang sebanyak RM8.5 juta setahun.
Tambah beliau yang juga Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, inisiatif ini jelas mencerminkan penghargaan kerajaan negeri terhadap peranan penting guru KAFA dalam membina asas pendidikan Islam yang kukuh untuk generasi muda.
‘Ia juga memperkukuh tekad Pulau Pinang untuk menjadi contoh negeri yang proaktif dalam memartabatkan pendidikan agama’ tegasnya lagi.

