GEORGETOWN: Jasa dan sumbangan Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, kepada negara sangat besar, termasuk Pulau Pinang yang menjadi antara negeri menerima banyak manfaat bawah pentadbiran anak kelahiran Bayan Lepas itu.
Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah atau Jambatan Kedua Pulau Pinang adalah ‘hadiah’ beliau kepada penduduk Pulau Mutiara.
Abdullah telah mengumumkan projek jambatan itu dalam ucapan pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) di Parlimen pada 2003.
Selain mengurangkan kesesakan di Jambatan Pulau Pinang, jambatan kedua itu turut merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri, terutama di zon perindustrian tanah besar di Batu Kawan.
Pembinaan jambatan sepanjang 24 kilometer (km) dengan 17km merentasi laut serta tujuh kilometer di daratan yang menelan kos RM4.5 bilion itu merapatkan pembangunan ekonomi antara Batu Maung di kawasan pulau dan Batu Kawan di tanah besar hingga hari ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, menyifatkan pemergian Abdullah sebagai satu kehilangan besar kepada negara, khususnya Pulau Pinang.
Katanya, semua jasa dan bakti Allahyarham membangunkan negara akan sentiasa tersemat dalam sanubari seluruh rakyat.
“Saya bagi pihak Kerajaan Pulau Pinang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, atas pemergian beliau sebentar tadi,” katanya dalam laman Facebook, malam tadi.
Sementara itu EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai, berkata Abdullah merasmikan majlis pecah tanah Jambatan Kedua Pulau Pinang pada 2006, selaku Perdana Menteri ketika itu.
“Pada 1 Mac 2014, berlangsung perasmian Jambatan Kedua Pulau Pinang, satu detik penuh bermakna. Sumbangan beliau kepada negara akan sentiasa dikenang,” katanya.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, turut mengingati jasa Allahyarham meluluskan pembinaan jambatan terbabit yang menghubungkan Parlimen Bayan Baru ke Batu Kawan.
“Jambatan itu kini memainkan peranan penting dalam menghubungkan Zon Perindustrian Bayan Lepas ke Batu Kawan, yang telah membuka ruang untuk pelaburan bernilai tinggi, pekerjaan bergaji tinggi dan pembangunan teknologi tinggi,” kata Tze Tzin.
Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim pula menyifatkan Abdullah sebagai bekas Perdana Menteri yang membawa kestabilan dan menekankan kesederhanaan dalam politik negara.
“Tun Abdullah atau lebih dikenali sebagai ‘Pak Lah’, adalah anak jati Pulau Pinang berketurunan ulama tersohor yang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kepala Batas selama lapan penggal dan menjadi Perdana Menteri Malaysia Kelima,” katanya.
Selain Jambatan Kedua, Pulau Pinang turut menerima banyak manfaat daripada pentadbiran Abdullah, termasuk pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang pertama dengan peruntukan RM1 bilion, pembangunan Penang Sentral (RM2.7 bilion) dan Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth.
Sumber : Berita Harian

