KUALA LUMPUR: Kerjaya Prospek Group Bhd memperoleh kontrak bernilai RM291.43 juta untuk kerja-kerja pembinaan di Pulau Andaman, Pulau Pinang.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, firma pembinaan itu berkata, anak syarikat milik penuhnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd, menerima surat anugerah daripada Persada Mentari Sdn Bhd (PMSB) untuk melaksana dan menyiapkan apartmen perkhidmatan 50 tingkat dengan 516 unit, termasuk tempat letak kereta dan kemudahan.
PMSB ialah anak syarikat tidak langsung Eastern & Oriental Bhd (E&O), menjadikan kontrak ini sebagai transaksi pihak berkaitan yang berulang.
Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas dan pemegang saham utama Kerjaya Prospek, Datuk Seri Tee Eng Ho, juga adalah Pengerusi Eksekutif dan pemegang saham utama E&O.
Belliau memegang 67.64 peratus kepentingan dalam Kerjaya Prospek dan 58.26 peratus kepentingan dalam E&O.
Adiknya, Datuk Tee Eng Seng, adalah Pengarah Eksekutif dan pemegang saham utama kedua-dua syarikat.
Kerja-kerja dijangka bermula pada 23 Jun, dengan siap dalam tempoh 38 bulan, demikian menurut Kerjaya Prospek.
Ini menandakan kontrak keempat Kerjaya Prospek yang berjaya diperolehi sejak awal tahun, menjadikan buku pesanan tertunggaknya kepada lebih RM4.6 bilion.
Kumpulan itu menjangkakan kontrak ini menjana pendapatan tambahan dalam tempoh tiga tahun akan datang, mengukuhkan lagi buku pesanannya.
Sumber : Berita Harian

