KEPALA BATAS: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pulau Pinang menempatkan antara 10 hingga 12 anggota dalam satu masa bagi melaksanakan tugas rondaan di kawasan tumpuan orang ramai sehingga mencetuskan kesesakan sepanjang Ramadan ini.
Jurucakap APM negeri berkata, rondaan dibuat meliputi kawasan bazar ramadan, masjid, pusat beli belah dan Karnival Aidilfitri.
Menurutnya, anggota akan membawa bersama beg medik mengandungi peralatan perubatan asas bagi memberi bantuan awal sekiranya berlaku kecemasan tidak diingini.
“Ini adalah untuk memastikan khidmat yang disediakan oleh APM kepada rakyat tidak terjejas dan dapat membantu masyarakat ketika dalam kecemasan,” katanya dalam kenyataan, di sini, pada 10 Mac 2025.
Jelasnya, penugasan rondaan membabitkan petugas APM dari Pusat Kawalan Operasi Unit (PKOU) selama dua jam bermula 1 Ramadan lalu.
“Diharapkan ia dapat memberi kesan dan impak yang tinggi terhadap masyarakat serta memberikan perkhidmatan yang efisien selaras dengan sambutan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam yang akan disambut pada 24 Mac ini,” katanya.
Sumber : Berita Harian

