
BAYAN LEPAS : Seramai 7,000 asnaf fakir dan miskin bakal menerima bantuan manfaat wakaf serta zakat sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini membitkan peruntukan berjumlah RM6,364,333.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata sumbangan tersebut disampaikan melalui Agihan Manfaat Wakaf Khas bawah Wakaf Pulau Pinang (WPP) kepada 14 penerima manfaat dari daerah Timur Laut dan Barat Daya melibatkan kos RM544,333.
“Sebanyak RM5.82 juta lagi adalah disumbangkan melalui pemberian saguhati asnaf fakir dan miskin Zakat Pulau Pinang (ZPP).
“Bagi kategori asnaf fakir masing-masing akan menerima RM700 manakala asnaf miskin (RM600), “ujarnya semasa menyempurnakan Program Iftar Jamaie dekat Masjid Al-Huda, Sungai Ara pada Selasa.
Pegawai Eksekutif WPP, Rosidi Hussain, barisan Ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan beberapa pengurusan tertinggi antara yang turut sertai majlis tersebut.


Dalam pada itu, beliau yang juga Yang Dipertua MAINPP memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sebanyak RM260,000 sebagai sumbangan Ehya’ Ramadan kepada masjid-masjid dan surau Jumaat pada tahun ini.
“Sebanyak 250 buah masjid dan surau Jumaat di Pulau Pinang bakal menerima manfaat bagi tujuan pengimarahan masjid sepanjang tahun iaitu melibatkan sebuah masjid negeri, masjid daerah (6), masjid kariah (208), masjid biasa (14) serta surau Jumaat (21).
“Di samping itu, Kerajaan Negeri turut cakna akan kepentingan umat Islam di negeri, oleh itu sumbangan sebanyak RM1 juta bakal diberikan kepada tujuh buah masjid utama negeri Pulau Pinang (Masjid Negeri dan enam masjid daerah),” jelasnya lanjut.
Sumber : Buletin Mutiara

