
GEORGE TOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menggesa semua pengguna di negeri ini mengurangkan penggunaan air sebanyak 10 peratus, dengan serta-merta.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, K Pathmanathan, berkata ini berikutan anggaran penggunaan air di Pulau Pinang mencecah 927 juta liter sehari (JLH) kelmarin berbanding purata 877 JLH, pada 2023.
“Ini mewakili lonjakan mendadak 50 JLH dalam penggunaan air setiap tahun. Jumlah 50 JLH merujuk kepada isi padu air yang boleh mengisi 20 kolam renang bersaiz olimpik sehari atau 33,333,333 botol besar (1.5L) air minuman setiap hari.
“Lonjakan sedemikian dalam keadaan kita menghadapi kemarau adalah tidak mampan. Keadaan ini akan menimbulkan isu kekurangan bekalan di beberapa kawasan di barat daya dan daerah Seberang Prai Selatan,” katanya menerusi kenyataan, semalam.
Pathmanathan sehubungan itu menyarankan supaya pengguna air mengelak daripada menggunakan paip air untuk menyiram kebun mereka, membersihkan kenderaan atau premis.
“Sila gunakan air dengan bijak di rumah dan di tempat kerja,” katanya.
Pengeluaran air terawat PBAPP untuk sembilan loji rawatan air (LRA) ialah 1,266.3 JLH (purata 2023: 1,198 JLH).
Purata kehilangan air untuk 2023 ialah 26.8 peratus. Anggaran jumlah pengeluaran air negeri ialah 1,266.3 JLH atau 26.8 peratus.
Pengguna di pulau mencatatkan penggunaan sebanyak 42.7 peratus daripada jumlah pengeluaran berdasarkan data 2023 manakala pengguna di Seberang Prai mencatatkan penggunaan sebanyak 57.3 peratus daripada jumlah penggunaan berdasarkan data 2023.
Pathmanathan berkata, sejak Khamis lalu hingga semalam, paras sungai Sungai Muda berada pada 1.71m hingga 1.89m, atau 2.0m di bawah paras selamat untuk pengabstrakan air di Seberang Prai.
Katanya, paras 120 bilion liter Empangan Muda di Kedah yang melepaskan air ke Sungai Muda dilaporkan menurun kepada 48.6 peratus pada Jumaat lalu.
“Paras Empangan Beris, empangan kedua melepaskan air ke Sungai Muda, sebanyak 98.6 peratus pada hari yang sama.
“PBAPP meneruskan pengambilan air mentah sebanyak mungkin dari Sungai Muda setiap hari untuk memenuhi permintaan air Pulau Pinang.
“Bagaimanapun, operasi mengeluarkan air dari Empangan Muda dan Empangan Beris ke Sungai Muda pada musim kemarau terletak di tangan pihak berkuasa Kedah.
“Namun begitu, kakitangan PBAPP bersiap sedia untuk mengeluarkan maksimum 600 JLH dari Empangan Mengkuang (EMD) jika kami tidak dapat mengambil air yang mencukupi dari Sungai Muda,” katanya.
Setakat kelmarin, kapasiti efektif tiga empangan utama Pulau Pinang ialah Empangan Air Itam (37.3 peratus), Empangan Teluk Bahang (73 peratus) dan EMD (89.6 peratus).
Pathmanathan berkata kapasiti efektif Empangan Air Itam menurun sebanyak 0.8 peratus, daripada 38.1 peratus pada Jumaat lalu kepada 37.3 peratus kelmarin.
Beliau berkata, PBAPP terpaksa mengeluarkan lebih daripada 11 JLH dari empangan itu.
Katanya, LPA Air Itam terpaksa mengeluarkan 25 JLH air terawat untuk menampung permintaan air yang meningkat.
Sumber : Berita Harian

