
GEORGE TOWN : Kumpulan rock legenda, Wings memperuntukkan tempoh kira-kira 15 minit pada Konsert Wings The Rock Emperor – Penang Chapter di sini, pada Sabtu, 24 Februari 2024, untuk mengenang dan menunjukkan tanda solidariti kepada rakyat Palestin yang menjadi mangsa kezaliman tentera Zionis.
Melalui segmen itu, vokalis Wings, Datuk Awie meluahkan rasa sedih dan kecewa terhadap nasib menimpa penduduk Gaza dann kemusnahan yang berlaku di wilayah terbabit.
“Dalam kita suka dan gembira, ada yang derita dan merana. Sempena hari yang mulia ini, berilah sedikit ingatan buat mereka yang sedang berjuang.
“Sematkan doa untuk mereka dalam hati kita. Ini hari mereka dan nasib kita belum tentu,” kata Awie sebelum menyampaikan lagu Allah Allah Aaghisna dendangan asal penyanyi dari seberang Nazwa Maulidia.
Sebaik selesai mendendangkan lagu itu, Awie atau nama sebenar, Ahmad Azhar Othman, 56, memanjatkan doa buat rakyat Palestin semoga mereka diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian itu.
Doa itu kemudian disambut dengan laungan Allahuakbar dan Hidup Palestin! daripada kira-kira 8,000 penonton yang membanjiri stadium tertutup itu.
Persembahan itu juga diselitkan dengan paparan video situasi genting di Gaza serta keadaan rakyat Palestin berdepan serangan Israel.
Konsert berdurasi tiga jam itu turut menyaksikan Awie menyampaikan dua lagu solo popularnya berjudul Bara dan Di Penjara Janji.
Berkongsi kisah di sebalik hasrat menyanyikan lagu itu, Awie berkata, karya itu dianggap suatu penghormatan Wings terhadap kerjaya solonya.
“Wings ingin hadiahkan saya iaitu dengan mengizinkan saya nyanyikan lagu ini pada konsert ini. Terima kasih kepada sahabat saya yang beri kebenaran untuk saya jadi ‘poyo’ di pentas,” katanya yang membuat kejutan kerana buat pertama kali menyanyikan lagu solo bersama Wings.
Pada konsert mega anjuran syarikatnya, iaitu Rumah Produksi Merah dan Awie Entertainment, Awie mendendangkan hampir 30 lagu termasuk medley.
Antara lagu dinyanyikan adalah Romanis; Jumpa Hilang; Bernafas Dalam Lumpur; Ingatkan Dia; Bujang Senang; Hukum Karma; Jerangkung Dalam Almari; Opera Hidup dan Taman Rashidah Utama.
Nyata pada usia separuh abad, vokal dan stamina Awie cukup ampuh ketika beraksi di atas pentas dengan diiringi ‘pahlawan’ muziknya iaitu Eddie, Black, Syam dan Edrie Hashim.
Konsert Wings The Rock Emperor – Penang Chapterc di Spice Arena di sini, adalah susulan kejayaan persembahan mega dengan konsep sama di Singapura dan Shah Alam, Selangor, tahun lalu.
Sumber : Berita Harian

